BEIJING 16 Sept. – China menuduh agensi pengintipan Taiwan meningkatkan usaha untuk mencuri maklumat risikan bertujuan ‘mensabotaj dan menyusup masuk’ ke negara ini selain memberi amaran tindakan itu akan merosakkan hubungan kedua-dua negara yang semakin buruk.
Jurucakap Pejabat Hal Ehwal Pembuat Dasar Taiwan China, An Fengshan berkata, agensi terbabit perlu menamatkan aktiviti mereka serta-merta.
Semalam, televisyen tempatan menyiarkan siri pertama perincian kes tentang penuntut China yang menuntut di Taiwan dan menjadi sasaran pengintip Taiwan dengan menabur wang, cinta dan persahabatan.
Tuduhan itu dibuat ketika China kini meningkatkan usaha menggalakkan penduduk Taiwan agar kekal di negara ini dengan kad pengenalan baharu dan imbuhan lain.
Taiwan telah memberi amaran kepada penduduknya agar berhati-hati terhadap risiko menetap di negara autokratik yang melaksanakan penapisan internet dan tidak menguntungkan.
China dan Taiwan seringkali saling menuduh mengintip negara masing-masing.
Pada 2017, seorang penuntut China yang menuntut di Taiwan dihukum penjara kerana mengumpulkan maklumat sensitif melalui orang hubungannya di sekolah dan jabatan kerajaan Taiwan selain cuba mewujudkan rangkaian pengintipan di pulau itu.
Taiwan membenarkan penuntut China melanjutkan pengajian di universiti miliknya pada 2009.










