KUALA LUMPUR 17 Sept. – Orang ramai dijemput menghadiri Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) kali ke-22 anjuran Tenaga Nasional Bhd. (TNB) yang membuka tirai hari ini sehingga 22 September di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Menurut TNB, penganjuran CEPSI 2018 bagi pihak Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP) itu menjadi persidangan utiliti tenaga terbesar pernah diadakan di negara ini.
“Bertemakan ‘Membayangkan semula Utiliti Masa Hadapan’, persidangan ini menumpukan kepada senario semasa bagaimana industri pembekalan elektrik mengalami transformasi ekoran kemunculan dan penggabungan akibat gangguan teknologi, perubahan ekonomi, keperluan kemapanan dan peraturan yang berubah pesat, serta pertambahan jangkaan pelanggan.
“Ia juga akan menangani topik-topik seperti megatrend, kelestarian, trilemma tenaga, pendigitalisasi dan masa hadapan lebih pintar,” jelas TNB dalam kenyataan di sini baru-baru ini.
CEPSI 2018 akan dirasmikan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin pada 9 pagi, 18 September 2018, sementara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula dijadual menyampaikan ucaptama khas pada jam 3 petang hari sama.
CEPSI yang dianjurkan secara tahunan itu dihoskan oleh negara-negara di sekitar rantau Asia Timur dan Pasifik Barat. Kali terakhir TNB menganjurkan CEPSI ialah pada 1996.
TNB berkata, CEPSI 2018 menampilkan penceramah terkemuka termasuk empat pakar antarabangsa yang akan berkongsi idea dengan para peserta.
“Empat penceramah itu ialah Pengarah Urusan Global Tenaga, Persekitaran dan Utiliti Industri IBM, Brad Gammons; Pengurus Serantau Pembangunan Perniagaan Tesla Energy Asia Pasific, Lara Olsen; Naib Presiden Kanan Kumpulan Bahagian Grid Kuasa Asia Selatan, Asia Barat dan Afrika ABB Group, Venu Nuguri serta Rakan Kanan McKinsey & Company, Dr. Jonathan Woetzel.
“Mereka bersama ahli panel terkenal lain akan berkongsi trend terkini, amalan terbaik dan cabaran yang dihadapi dalam setiap bidang yang diceburi,” jelas syarikat itu.
TNB turut menjangkakan seramai lebih 1,500 delegasi yang terdiri daripada pemimpin, eksekutif kanan, pegawai kerajaan dan profesional dari seluruh dunia akan mengambil bahagian dalam persidangan kali ini.
“Para peserta yang hadir juga berpeluang untuk bertemu, berkongsi pengalaman dan meneroka idea-idea baharu dengan pembuat dasar, pemimpin industri dan individu berpengaruh dalam industri bekalan tenaga,” tambah TNB.










