Sudah wujud sejak lebih 200 tahun lalu, sushi menjadi makanan turun temurun orang Jepun, bangsa yang sememangnya amat menghormati makanan tradisi mereka.
Bagi masyarakat di negara matahari terbit itu, makanan ada seni dan rohnya sendiri, yang perlu dipelihara untuk warisan generasi mereka.
Jadi, tidak hairan apabila sushi mampu kekal diminati sehingga ke hari ini, bahkan berkembang ke seluruh dunia dan menjadi budaya makanan di beberapa negara lain.
Disediakan secara segar dan menyihatkan, sushi adalah sajian nasi yang dibentuk bersama lauk berupa makanan laut, daging, sayuran, atau telur.
Gabungan rasa masam dan manis nasi yang telah dikepal bersama lauk yang segar menjadikan sushi berjaya memikat selera pelbagai lapisan masyarakat.
Ada pelbagai jenis sushi dengan penampilan yang berbeza seperti sushi maki, sushi nigiri, sushi chirashi, sushi inari, dan sashimi.
Nampak seperti mudah untuk disediakan, namun hakikatnya hanya mereka pakar sahaja mampu membuatnya kerana memerlukan seni, teknik serta kemahiran yang tinggi.
Bagi menguji kepakaran pembuat sushi di seluruh dunia, Piala Dunia Sushi diadakan setiap tahun di Tokyo. Pertandingan itu bertujuan mengangkat martabat pembuat sushi ke peringkat yang lebih tinggi dan menghargai kesenian asli dalam penyediaan sushi.
Kejohanan tersebut merangkumi kursus pembelajaran, latihan, peperiksaan dan kemudian diikuti pertandingan terbuka sushi tradisional Jepun, Edo-mae. Penilaian adalah berdasarkan budaya makanan tradisional Jepun dan kaedah memasak yang mengambil kira faktor kebersihan menggunakan bahan mentah.
Hanya cef yang melepasi pusingan kelayakan sahaja dapat maju ke penilaian akhir, yang merupakan pertandingan sushi kreatif. Pada peringkat ini mereka akan diuji dengan lebih mendalam berdasarkan kreativiti yang ditampilkan pada sushi masing-masing.
Mengejutkan, apabila anak jati dari Kluang, Johor, Cef Tai Koon Siang dinobatkan sebagai juara Piala Dunia Sushi bagi tahun ini, yang berlangsung bulan lalu di Tokyo, Jepun.
Lebih menarik, dia membawa sushi bertemakan Malaysia-Truly Asia, yang mempamerkan keunikan variasi rasa masakan Malaysia.
Koon Siang atau lebih dikenali sebagai Cef Sky Tai, merupakan ketua cef di Singapore Standing Sushi Bar. Dia mendapat tempat pertama dalam kategori sushi tradisional dan sushi kreatif, sekali gus meletakkannya sebagai juara keseluruhan dalam pertandingan berprestij itu.
Dia telah menyertai pertandingan itu sejak 2015 dan pernah mewakili Singapura untuk bertanding pada 2016, namun hanya berpuas hati di tempat kedua.
Ternyata, tahun ini tuah berpihak padanya apabila mewakili tanah kelahiran sendiri dan berjaya mengalahkan 20 peserta akhir.
“Saya memilih konsep ini bagi mengetengahkan warisan budaya makanan di Malaysia ke dalam makanan tradisional negara matahari terbit itu.
“Saya hasilkan sushi yang menggabungkan makanan popular masyarakat kita seperti nasi lemak, sambal sotong, daging bakar dan otak-otak yang membawa elemen kepelbagaian bangsa di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India, dan Baba Nyonya.
“Selain rasanya yang unik, saya juga menonjolkan dekorasi bercirikan hutan tropika negara ini dengan menggunakan pinggan yang dibuat daripada kayu dan tumbuh-tumbuhan.
“Selain itu, saya mengetengahkan bangunan ikonik negara, Menara Berkembar Petronas sebagai simbolik kepada pembangunan negara,” katanya ketika ditemui dalam majlis meraikan pemenang Piala Dunia Sushi 2018 oleh Majlis Makanan Laut Norway (NSC) di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Cef Sky Tai menambah, untuk kategori penyediaan sushi Edo-mae, cabarannya terletak pada bagaimana dia perlu menyediakan bahan-bahan mentah tanpa menggunakan peti sejuk tetapi masih mampu mengekalkan kesegaran, kualiti cuka dan ketahanan sushi.
Selain itu, dia juga diuji dengan kemahiran menggunakan pisau, kemahiran memotong ikan dan menggulung atau mengepal nasi.
Sebagai persediaan menyertai kejohanan tersebut, cef berusia 36 tahun dan berpengalaman 12 tahun menceburi bidang pembuatan sushi, mendapat latihan seni menghasilkan sushi menerusi Akademi Sushi Global tajaan NSC dengan kerjasama Institut Kemahiran Sushi Dunia.
Berbanding pembuat sushi lain yang ‘berguru’ di restoran sushi mewah, Cef Sky Tai mendapat latihan awal dari sebuah restoran sushi kecil di Johor selepas tamat sekolah menengah.
Meminati sushi kerana terpengaruh dengan siri drama Jepun, Shota no Sushi, dia meneruskan kerjayanya di Singapura selepas rakannya memperkenal dia dengan pemilik restoran sushi mewah bagi mengumpul pengalaman menjadi pembuat sushi profesional.
Kini, dia boleh berbangga dengan pencapaiannya dan bercadang untuk membuka sebuah restoran sushi keluarga di kampung halamannya, Kluang.
Mempunyai tiga orang anak, begitupun, dia mengakui anak-anaknya jarang dapat merasa air tangannya kerana kesibukan menyara keluarga.











