TAPAH 15 Sept. – Meskipun terpaksa beraksi dalam kesakitan namun semangat luar biasa dimiliki atlet angkat berat Sabah, Elly Cassandra Engelbert menyaksikan dia menjadi orang pertama berjaya memecah rekod Sukan Malaysia (Sukma) dalam laluannya untuk memenangi pingat emas acara clean & jerk kategori 53 kilogram (kg) wanita di Dewan Merdeka, di sini hari ini.
Atlet berusia 18 tahun itu memecahkan rekod berusia 10 tahun setelah berjaya mengangkat 92kg, sekali gus mendominasi kategori berkenaan setelah sebelumnya merangkul emas acara snatch dengan mengangkat 72kg.
Kejayaannya mengangkat bebanan 92kg bermakna dia memadamkan rekod Raihan Yusof dengan kelebihan dua kilogram ketika atlet dari Kelantan itu memenangi pingat emas ketika Sukma 2008 di Terengganu.
Elly berkata, dia sebenarnya mengalami kecederaan di bahagian bahu ketika beraksi namun sikap sentiasa mempercayai diri dan bersikap tenang merupakan kunci di sebalik kejayaan meraih pingat emas pertamanya dalam Sukma menerusi penampilan ketiganya dalam temasya itu.
“Sangat gembira dan berpuas hati dengan kejayaan hari ini lebih-lebih lagi berjaya meraih emas pertama sejak bertanding dalam Sukma 2014 (di Perlis).
“Sebenarnya saya beraksi dalam kesakitan tadi kerana cedera di bahagian bahu, malah saya juga pernah mengalami kecederaan serius di bahagian pinggang pada 2017 sehingga terpaksa berehat selama beberapa bulan.
“Segala penat lelah, kesakitan yang pernah dialami itu akhirnya membuahkan hasil apabila memenangi dua emas,” katanya.
Sementara itu, dalam pingat perak disiplin snatch menjadi milik atlet Terengganu, Nurul Syafiqah Azmi yang mengangkat 64kg manakala gangsa diraih oleh Nurul Ain Husna Che Mohd. Nor (63kg) dari Perlis.










