KUALA LUMPUR 5 Sept. – Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 tidak perlu penglibatan dan campur tangan daripada ahli politik dalam merancang pembangunan yang lebih komprehensif di negara ini.
Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar berkata, campur tangan daripada ahli politik dikhuatiri mengganggu kehidupan dan keselesaan rakyat.
“Tidak boleh lagi pertalian politik dalam perancangan pembangunan negara kita, apabila politik disalah guna rakyat akan menjadi mangsa.
“Gesaan saya bukan sahaja kepada pemaju muda yang terlibat dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, kumpulan ini harus berdiri dengan mengambil berat kesan kepada rakyat dan bukan mengikut telunjuk mana-mana ahli politik,” katanya selepas menyampai dialog bertajuk cabaran yang dihadapi anak muda anjuran Institut Perancang Malaysia (MIP) di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











