KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan cadangan melantik bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar kecil) sebagai Ketua Umum parti itu sebagai tidak relevan.
Annuar berkata, beliau berpandangan cadangan tersebut merupakan perkara yang tidak sesuai dan tidak boleh dilaksanakan memandangkan jawatan itu tiada dalam perlembagaan parti.
“Sebagai Setiausaha Agung parti, saya berpandangan ia tidak relevan dan tidak boleh dilaksanakan,” katanya pada sidang akhbar di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.
Media kelmarin melaporkan, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mencadangkan UMNO melantik Najib sebagai Ketua Umum parti itu berkuat kuasa serta-merta.










