Muktamar Tahunan Pas ke-64 yang berlangsung minggu lalu telah memperlihatkan satu permulaan kerjasama lebih rapat antara UMNO dan Pas, dua parti Melayu yang bukan sahaja terbesar di Malaysia, tetapi juga paling mewakili masyarakat Melayu beragama Islam yang konservatif.
Walaupun perkembangan muktamar di Kuala Terengganu itu sebahagian besarnya masih simbolik, kehadiran pemimpin tertinggi UMNO duduk sepentas dengan pemimpin Pas di muktamar sudah menjadi satu petanda jelas yang agenda kerjasama kedua-dua parti sedang bergerak ke depan.
Kerjasama yang diterima setakat ini ialah kerjasama yang disebut taawun, yang tidak terikat seperti tahaluf siyasi yang dicapai dengan Pakatan Rakyat sebelum ini.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya sendiri memberi gambaran positif kerjasama. Walaupun menegaskan kerjasama perlu dilaksanakan demi memenuhi keperluan semasa menghadapi kemaraan gabungan liberal Pakatan Harapan (PH), dan keperluannya masih tidak mendesak, kerjasama tetap ditegaskan kepentingannya.
Satu lagi gambaran penerimaan agak positif kerjasama UMNO dengan Pas ialah ketiadaan perdebatan panas berhubung isu ini, yang sebelum ini dijangka berpotensi mencetuskan suasana tegang atau kurang selesa dalam muktamar.
Pas walau bagaimanapun mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam meneruskan momentum kerjasama dengan tidak segera mengeluarkan kenyataan, menggambar satu pakatan baharu politik telah muncul selepas muktamar.
Abdul Hadi memberi penegasan yang cukup berhati-hati, dengan memberi tumpuan pada perkembangan semasa dan tidak memberi gambaran kerjasama spesifik menuju PRU-15. Pendekatan menerima positif tetapi berhati-hati ini telah menunjukkan hikmahnya kepada Pas apabila beberapa hari selepas muktamar, beberapa orang ahli Parlimen UMNO meninggalkan parti, menjejaskan keyakinan terhadap UMNO dalam kalangan ahli Pas, terutama yang kritis terhadap UMNO selama ini. Keyakinan terhadap UMNO adalah satu cabaran utama dalam meneruskan satu kerjasama pada peringkat ini, yang pada masa terdekat hanya menuntut satu kerjasama memenuhi syarat paling minimum, berdasarkan kepentingan bersama dalam berdepan lawan politik.
Inilah yang menjelaskan sikap berhati-hati Pas dalam meneruskan kerjasama, yang dilihat sebagai satu usaha yang bukan semata-mata berdasarkan kepentingan politik jangka pendek keadaan semasa, tetapi menuntut penerimaan terhadap agenda lebih besar Pas yang berkait dengan ideologi parti itu.
Satu petunjuk jelas ditujukan pada UMNO ialah tema muktamar, “Islam Memimpin” yang sebenarnya satu syarat Pas dalam memulakan dan meneruskan kerjasama lebih rapat dengan UMNO yang sukar dielakkan memandangkan perkembangan selepas PRU-14.
Tetapi tindakan beberapa tokoh UMNO keluar parti dan kenyataan bahawa berlaku rundingan antara UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga menyumbang kepada krisis keyakinan yang boleh menjadi penghalang kerjasama diteruskan.
Walau bagaimanapun, UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi masih merupakan sebuah parti Melayu yang konservatif walaupun turut bersikap pragmatik dalam politik, atau sekurang-kurangnya perlu mengambil garis konservatif dalam sebahagian besar tindakannya.
Berdasarkan perkembangan terkini, dapat diperhatikan kecenderungan liberal dalam UMNO menunjukkan rasa kurang senang atau penentangan terhadap usaha kerjasama dengan Pas, dengan alasan yang selari dengan pandangan dipegang oleh Dr. Mahathir. Tanpa menafikan sepenuhnya keikhlasan dalam kalangan pemimpin UMNO, isu pendirian ideologi masih agak cair dalam penetapan sikap dan sokongan pemimpin-pemimpin dalam UMNO, yang masih menjadikan pragmatisme sebagai asas tindakan, terutama ketika kerjaya politik masing-masing berada di persimpangan.
Alasan menolak kerjasama dengan Pas oleh mereka yang bertindak keluar parti misalnya, boleh dilihat bukan berdasarkan pegangan ideologi, tetapi sekadar alasan untuk mengubah haluan politik.
Halangan
Masa tindakan menyatakan penentangan dan bertindak keluar parti itu menunjukkan kepalsuan alasan itu, kerana sebelum kerjasama di Seri Setia dan Sungai Kandis lagi, UMNO dan Pas sudah menampakkan hubungan lebih baik, dan bertindak dalam pilihan raya umum lalu berdasar satu persefahaman.
Di peringkat paling asas bagi UMNO, kerjasama ini memenuhi kepentingannya untuk kembali mengukuhkan kedudukan dalam politik negara, berdasarkan logik yang mudah dan jelas jumlah undi dan kerusi majoriti Melayu dalam Parlimen Malaysia.
Angka yang dapat dibaca ini menjadikan pilihan bekerjasama dengan Pas, sebuah lagi parti Melayu utama negara ini sebagai pilihan tidak dapat dielakkan, ditambah lagi dengan penguasaan dua buah negeri majoriti Melayu di Pantai Timur dan juga kuasa lunak Pas dalam hal keagamaan.
Tetapi, ini tidak bermakna yang UMNO semestinya berada di posisi lemah dalam rundingan dengan Pas kerana pengalaman dalam pentadbiran nyata menyebelahi UMNO, yang sudah berpengalaman dalam pentadbiran di peringkat Persekutuan dan negeri.
Bagi Pas yang kekal sebagai pembangkang tetapi menguasai dua negeri Melayu, perkembangan melibatkan kerjasama dengan UMNO ini dapat dilihat sebagai kesinambungan haluan yang telah diambil sejak keluarnya pemimpin berhaluan ‘liberal’ selepas muktamar tahun 2015 dan selepas ia menjarakkan diri dengan parti-parti pembangkang lain.
Bagi Pas, sebagai sebuah parti berideologi Islam dan bertentangan dengan perjuangan parti-parti pembangkang berhaluan liberal, masa kini ialah satu peluang, dan juga bukti yang menunjukkan kepatuhannya pada ideologi sebagai Islamis.
Halangan psikologi merupakan halangan terbesar bagi Pas untuk meneruskan kerjasama ini kerana selama ini UMNO telah diletakkan sebagai berada di seberang bertentangan dari sudut ideologi dengan Pas kerana mengikut ideologi nasionalisme, dengan segala penjelasan berdasarkan pemahaman ideologi untuk menegaskan pendirian ini.
Pergelutan dalaman sekitar isu ini akan terus berjalan sepanjang menuju ke arah mengukuhkan kerjasama dengan UMNO, kerana wacana ideologi yang dibina selama perseteruan politik dengan UMNO turut melahirkan kekeliruan yang kini muncul menyukarkan Pas dalam menetapkan kerjasama dalam isu kepentingan Islam.
Bersumber satu fahaman asing, idea memisahkan Melayu dengan Islam mengukuh dalam Pas hingga memunculkan satu pemahaman salah tentang perjuangan Melayu.
Walaupun banyak tuduhan mendakwa Pas berpegang pada fahaman takfiri yang mempersoalkan keislaman kumpulan lain sebenarnya berlebihan dan bersumber daripada dendam politik, tidak dapat dinafikan sebahagian besar ahli Pas masih meragui komitmen UMNO dalam memperjuangkan isu berkaitan Islam.
Halangan psikologi inilah yang membelenggu dan akan terus menyekat kerjasama lebih lancar dengan UMNO, terutama di peringkat akar umbi yang menyaksikan pergelutan politik sengit.
Dari perspektif lebih luas, kerjasama kalangan kumpulan Islam telah dilaksanakan beberapa tahun lalu di pelbagai peringkat bagi menghadapi kemaraan liberalisme yang dikuatkan oleh gerakan politik yang kini membentuk PH.
Dalam hal kerjasama politik dalam kalangan parti dan kumpulan Melayu, Pas yang paling perlahan bergerak ke depan berbanding beberapa kumpulan Islamis lain yang juga berada di posisi ke arah kanan dalam spektrum politik.
Pas sebelum ini tetap dengan hujah ideologi dalam menolak kerjasama lebih rapat dengan UMNO dan memilih untuk bersama parti-parti politik liberal termasuk DAP.
Perkembangan terkini dalam hubungan UMNO dengan Pas yang dijelaskan lagi melalui muktamar Pas yang berakhir 16 September lalu sememangnya mencatat satu tanda baharu dalam politik negara pasca PRU-14.
Kerjasama UMNO dengan Pas memberikan kem konservatif dalam politik negara satu harapan, selepas kerjasama antara kelompok konservatif di negara ini bergerak terlalu lama dan perlahan.
Sejauh mana kerjasama ini boleh berjalan, dan sama ada mencapai pembentukan satu pakatan politik yang lebih kukuh masih belum dapat ditentukan sekarang. Namun kesediaan kedua-dua parti untuk bergerak ke hadapan kebelakangan ini adalah satu petanda yang positif dalam perkembangan ini.
* PENULIS adalah bekas editor kanan Harakah.










