TAIPING – Seorang buruh bakal berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencabul adik iparnya tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 31 itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd. Razak.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa yang berusia 13 tahun tanpa kerelaan di sebuah rumah pada tahun lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun manakala tertuduh diwakili peguam bela daripada Yayasan Bantuan Guaman Malaysia (YBGM), M. Kathan.
Kathan dalam rayuan kepada anak guamnya memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah terhadap tertuduh memandangkan dia merupakan seorang buruh yang menyara seorang isteri dan dua anak mereka.
Che Noralashiken membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh kemudian membayar wang jaminan tersebut.
Hakim memerintahkan tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa.
Mahkamah menetapkan 13 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE










