Buru kemenangan pertama - Utusan Malaysia

Buru kemenangan pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA 19 Sept. – Malaysia mahu memulakan kempen Kejohanan Bawah 16 (B-16) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan langkah kanan apabila menentang Taji­kistan esok.

Ketua jurulatih skuad B-16 Malaysia, Lim Teong Kim menuntut anak-anak buahnya memanfaatkan peluang sebagai tuan rumah, selain kelebihan cuaca dan gelanggang di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk meraih kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan A.

“Sudah empat tahun kita menyediakan skuad ini. Kini masa untuk beraksi. Saya gemar bermain di tempat sendiri, tiada sebarang tekanan kerana itulah sebahagian daripada tugas saya,” kata bekas pemenang pingat emas Sukan SEA 1989 itu.

Turut hadir dalam sidang akhbar tersebut adalah jurulatih Tajikistan, Rakhimov Zaynidin; pengendali Thailand, Thongchai Rungreangleas serta jurulatih Jepun, Moriyama Yoshiro.

Teong Kim sedar ketiga-tiga lawan turut berkongsi sasaran layak ke pusingan akhir Piala Dunia Bawah 17, tahun depan dan memburu kedudukan empat terbaik kejohanan.

“Tiada yang mustahil (untuk layak ke Piala Dunia). Kami pun ingin menang (dengan Taji­kistan) tetapi semua pasukan di sini tahu kekuatan dan kelemahan lawan,” katanya.

Sementara itu, kapten Malaysia B-16, Muhammad Hariz Mansor berkata, dia tidak sabar untuk memulakan aksi selepas empat tahun membuat persediaan.

“Tidak sabar nak main kerana kami sudah buat persediaan yang sangat lama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN