MUKADIMAH: KELANTANGAN ‘suara’ UMNO yang kini bertindak sebagai pembangkang seolah-olah masih tenggelam dek penolakan serta persepsi yang dilontarkan rakyat kepada parti itu.
Malah, segelintir pihak melihat pergerakan sayap UMNO termasuk Pemuda juga kini ‘hilang taring’ dan hanya menterjemahkan suara melalui kenyataan akhbar atau di media sosial dalam beberapa isu hangat yang melibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Apa yang menggusarkan penyokong, pergerakan Pemuda UMNO yang menjadi sebahagian tonggak dalam parti adalah bakal pemimpin pada masa depan yang menentukan ‘hidup’ atau ‘mati’ UMNO Namun, bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, DATUK DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI mempunyai pandangan serta doktrin sendiri untuk mengembalikan parti itu serta menukar pandangan negatif yang telah dilontarkan sebelum ini.
Beliau juga mahukan naratif perjuangan parti yang lebih bersifat universal dalam meraih sokongan rakyat pelbagai peringkat terutama menjelang Perhimpunan AgungUMNO 2018 minggu ini.
Ikuti temubual eksklusif wartawan UTUSAN MALAYSIA, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan jurugambar HAFIZ JOHARI bersama beliau semalam.
UTUSAN: Sebelum kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Pemuda UMNO hanya dilihat membina personaliti dan bersifat elitis tanpa mempunyai perjuangan kukuh. Bagaimana Datuk mahu merubah tanggapan tersebut?
ASYRAF WAJDI: Ini sesuatu yang saya perhatikan. Sebelum ini, kita alpa dan leka di puncak kuasa. Kita rasa kita akan jadi kerajaan selamanya dan fikirkan soal kekayaan sehingga lupa pada perjuangan. Mereka ini dilihat retorik di sebalik perjuangan Alif (agama), Ba (bangsa) dan Ta (tanah air). Sebab itu Pengkaderan dan Pentarbiyahan yang menjadi sebahagian lima ‘P’ (Pembudayaan Ilmu, Pemerkasaan Rohani, dan Pemantapan Jati Diri) amat penting untuk lahirkan pewaris perjuangan dan idealisme parti. Jika kader tiada jati diri, mereka juga akan terperangkap dan perjuangan akan menjadi retorik serta menjadi fitnah kepada Islam serta Melayu. Maknanya selepas ini mereka dapat tonjolkan Islam dan Melayu yang sebenar bukannya Islam atau Melayu yang terpalit dengan skandal atau penyelewengan serta bersifat elitis.
Adakah Datuk mempunyai agenda atau isu yang mahu diketengahkan dalam menukar persepsi negatif terhadap UMNO dalam Perhimpunan Agung nanti ?
Ini kali pertama kita adakan Perhimpunan Agung UMNO selepas kalah dalam PRU-14. Kita mahu ambil kesempatan untuk terus jujur dan lakukan proses bukan sahaja muhasabah, tetapi kukuhkan jati diri. Saya akan ‘lakarkan’ teras kebangkitan dan syarat penting yang menentukan sama ada Pergerakan Pemuda mampu bangkit atau tidak, dengan penampilan imej baharu. Ini adalah saat penting untuk saya mengolah hala tuju UMNO.
Pergerakan Pemuda dilihat kurang lantang dalam banyak isu nasional membabitkan kerajaan PH. Mengapa keadaan ini berlaku? Adakah kerana UMNO masih baharu sebagai pembangkang?
Kita hanya lebih kurang empat bulan bentuk semula organisasi. Saya tidak mahu hanya pemimpin ke depan tapi realitinya gerabak di belakang masih terkapai-kapai. Sebab itu, pendekatan saya adalah perkukuhkan parti dan Pergerakan Pemuda terlebih dahulu termasuk melalui lima ‘P’ yang di pernah dinyatakan untuk kita kembali kepada asas perjuangan. Kita tidak perlu berdemonstrasi yang akhirnya rakyat lihat itu sebagai retorik.
Adakah benar dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan UMNO kini sudah hancur?
Tidak benar sama sekali. Saya telah pergi ke 13 buah negeri semasa program Halaqah sebelum ini. Di peringkat akar umbi, mereka begitu bersemangat. Pada saya, yang goyah adalah pemimpin berkepentingan. Sebab itu, kita boleh lihat sudah ada isytihar keluar parti. Kalau benar UMNO hancur atau pudar, sudah tentu ada ahli biasa yang keluar beramai-ramai.
Apakah harapan Datuk dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini?
Kita kini sedang bina kekuatan dan perlu cari jalan terbaik untuk tampilkan naratif perjuangan baharu secara universal, berintegriti, menolak korupsi dan meletakkan aspek tadbir urus di tempat tinggi. Selain itu, kita mahu pucuk pimpinan gariskan hala tuju jelas untuk semua supaya ada matlamat demi semua termasuk kukuhkan parti, bukannya janji palsu yang boleh memberi gambaran bahawa UMNO tidak pernah berubah.











