KUALA LUMPUR 17 Sept. – Beberapa dokumen termasuk salinan sepucuk surat yang didedahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengesahkan dana RM2.6 bilion dimilikinya adalah daripada keluarga diraja Arab Saudi, didakwa tidak ditandatangani Putera Arab Saudi, Putera Abdulaziz Al-Saud sepertimana yang tertera.
Memetik laporan The Edge Weekly, dokumen berkenaan disedia dan ditandatangani individu dikenali sebagai Mohammad Abdullah Al Koman yang mendakwa beliau merupakan wakil kepada Putera Abdulaziz.
“Mohammad Abdullah memberitahu pasukan penyiasat bahawa beliau bagi pihak Putera Arab Saudi menyedia dan menandatangani semua dokumen tersebut.
“Dalam kata lain, beliau memberitahu penyiasat Malaysia bahawa mereka perlu percaya ia (dokumen berkenaan) datang daripada keluarga diraja Arab Saudi,” lapor The Edge Weekly hari ini.
Minggu lalu, Najib buat pertama kalinya, mendedahkan beberapa dokumen membabitkan perjanjian pembiayaan kewangan daripada bekas Raja Arab Saudi yang mangkat, Allahyarham Raja Abdullah Abdul Aziz bagi mengesahkan dana RM2.6 bilion dimilikinya adalah derma keluarga diraja berkenaan.
Menurut Najib, pendedahan itu dibuat bagi membersihkan namanya daripada pelbagai tuduhan dan fitnah.
Dalam pada itu, dakwa laporan itu yang memetik sumber sebagai berkata, selepas pertemuan dengan Mohammad Abdullah, pasukan penyiasat turut memutuskan tidak selamat untuk mengesahkan wang yang dipindahkan dari Blackstone Asia Real Estate Partners dan Tanore Finance adalah sumbangan Arab Saudi kerana masih tidak jelas dan kekurangan dokumen sokongan.
“Mereka juga memberitahu apa yang ada hanyalah jaminan dibuat secara lisan oleh Mohammad Abdullah dan tiada pengesahan lain berhubung kesahihan surat dan putera itu sendiri,” katanya.










