Bukan sekadar hubungan biasa - Utusan Malaysia

Bukan sekadar hubungan biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak ramai yang mungkin tahu bahawa hubu­ngan Malaysia dengan Turki me­­langkaui jauh sempadan di­­p­lo­matik, malah mempunyai ikatan ‘kekeluargaan’ yang sa­ngat erat.

Hakikat ini dirasakan Duta Besar Turki ke Malaysia, Merve Safa Kavakci meskipun beliau baharu bertugas kira-kira lapan bulan di negara ini.

Benar, rakyat Malaysia dan Turki menganuti agama yang sama, malah pemimpin kedua-dua negara menjadi sanjungan kerana berperanan pen­ting dalam membantu masyarakat Islam dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apa yang mungkin kurang diketahui bahawa ikatan kekeluargaan Malaysia-Turki telah terjalin sejak abad ke-19 lagi me­lalui perkahwinan kerabat Sultan Uthmaniyyah, Rogayah Hanim (Ruqaiyyah Hanim) de­ngan Ungku Abdul Majid, adinda pemerintah Johor ketika itu, Sultan Abu Bakar.

Melalui perkahwinan itu me­reka memperoleh tiga anak lelaki dan salah seorangnya ia­lah Ungku Abdul Hamid yang me­rupakan bapa kepada Profesor Diraja dan juga bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Ungku Abdul Aziz.

Selepas kemangkatan Ung­ku Abdul Majid, Rogayah kemudian mengahwini Datuk Jaafar Muhammad, Menteri Besar Johor yang pertama dan memiliki tujuh anak, sa­lah seorangnya ialah peng­asas UMNO, Datuk Onn.

Selain masyarakat Malaysia yang ramah, Merve teruja dengan susun atur dan perancangan bandar di negara ini termasuk reka bentuk bangunan seperti di Putrajaya yang setiap satunya mempunyai ciri tersendiri.

“Malaysia juga adalah negara pertama yang membuka laluan kepada industri kewa­ngan Islam dan makanan halal justeru saya mendapati Malaysia juga sentiasa berusaha me­ningkatkan kefahaman tentang agama Islam sejajar keperluan masyarakat di abad ke-21 ini,” ka­tanya.

Menyentuh tentang ma­sya­rakat majmuk di negara ini, wa­nita itu turut mengkagumi keupayaan pemerintah Malaysia menyatukan rakyat ini dan mewujudkan pelbagai sosiobudaya, seperti Turki yang menjadi tempat pertemuan antara barat dan timur tanpa menghilangkan identiti dan kekayaan budaya masing-masing.

“Malaysia menonjol di dunia melalui pembangunan sosial dan ekonomi bebas selain berjaya mewujudkan keharmonian masyarakat daripada pelbagai kaum, etnik dan agama,” kata­nya.

Merve juga kagum dengan kematangan rakyat Malaysia dalam bidang politik justeru pilihan raya umum yang lalu membuktikan demokrasi yang wujud di negara ini.

“Demokrasi diamalkan de­ngan baik di negara ini dan keputusan yang dibuat rakyat negara ini harus disokong dan dihormati,” katanya.

Merve juga berkata, hubu­ngan politik Turki-Malaysia se­makin kukuh melalui kerja­sama dalam Perkongsian Stra­tegik pada 2014 dan forum-fo­rum antarabangsa se­perti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Ber­satu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi D-8 selain soko­ngan Malaysia terhadap Turki untuk memperoleh status Rakan Dia­log Sektoral ASEAN pada tahun lalu.

Dalam pada itu katanya, hubungan perdagangan antara kedua-dua negara perlu diper­tingkatkan dengan membuka peluang kepada usahawan ma­sing-masing sebagai rakan niaga.

“Setakat ini, tidak ramai rakyat Turki dan Malaysia yang menjadi rakan niaga walaupun ada beberapa keka­ngan tetapi potensinya perlu diluaskan.”

“Kedua-dua pihak perlu me­ngenali persekitaran pernia­gaan untuk menjadi lebih ak­rab, kami sedang berusaha untuk menarik pelbagai kumpulan dari pelbagai sektor bertukar-tu­kar idea dan meneroka per­kongsian ini,” katanya.

Merve berkata, sebagai Rakan Dialog Sektoral ASEAN, Turki berharap dapat mengadakan hu­bungan dengan masyarakat perniagaan ASEAN pada masa akan datang.

Beliau menegaskan, Malaysia dan Turki sudahpun mempunyai hubungan pelaburan bersama yang sangat berjaya dalam industri penerbangan, kesihatan dan pertahanan.

Justeru itu kata Merve, ke­dua-dua negara kini perlu meluaskan lingkungan kerjasama ekonominya. Banyak syarikat Turki menawarkan produk yang kompetitif kepada Malaysia.

Beliau berkeyakinan sebaik sahaja usahawan Turki mema­suki pasaran negara ini, mereka akan berjaya selain Malaysia ju­ga boleh mempertimbangkan insentif sektoral sebagai salah salah satu cara untuk menarik usahawan-usahawan Turki ke Ma­­laysia.

“Anda mungkin terkejut jika mengetahui bahawa kebanyakan barangan pengguna dan produk dari Turki masih diimport ke negara ini melalui orang tengah,” katanya.

Merve mahu melihat Turki dan Malaysia sebagai rakan niaga jangka panjang yang ber­usa­ha ke arah pembangunan ekonomi mapan untuk manfaat rakyat kedua-dua negara.

Namun yang penting katanya adalah untuk mengukuhkan hubungan kerjasama demokrasi kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran bidang politik dan kemanusiaan melibatkan dunia Islam secara global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini