IPOH – Atlet Johor, Akmal Darwisy Abdul Rahim menjadi tumpuan walaupun hanya membantu skuadnya menuai pingat perak di pentas Sukan Malaysia (Sukma) 2018 pada acara boling padang lelaki kategori fours di Arena Boling Padang semalam.
Ini kerana, atlet berusia 11 tahun yang belajar di Sekolah Kebangsaan Angkatan Tentera di Johor itu mampu beraksi seperti pemain elit sekali gus membantu skuadnya layak ke aksi final sebelum dikecewakan Selangor menerusi keputusan 14-11.
Darwisy yang ditemui tidak mampu menahan sebak kerana dianggap sebagai punca kekalahan Johor.
“Saya sedih sebab tewas pada acara fours. Ini kerana saya gagal membantu rakan sepasukan meraih mata dengan banyak serta kerap melakukan kesilapan dalam balingan. Venue kejohanan yang dipenuhi orang ramai dan bunyi bising membuatkan saya hilang fokus.
“Namun saya masih gembira kerana dapat menyumbang perak, lagi pun saya hanyalah atlet separuh masa kerana masih bersekolah. Saya menjalani latihan pada Sabtu dan Ahad sahaja iaitu di sebelah pagi serta petang,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Pingat gangsa bagi acara fours lelaki dikongsi oleh kontinjen Negeri Sembilan dan Sabah selepas kedua-dua pasukan tewas pada pusingan separuh akhir di sebelah pagi.
Mengulas lanjut, atlet kelahiran Larkin, Johor itu berharap kekecewaannya dapat ditebus pada aksi triples hari ini.
“Lepas ini saya masuk triples. Selepas tewas, kawan-kawan memberi nasihat dan perangsang. Mereka yakin saya boleh memperbaiki kelemahan lalu sekali gus dapat menghadiahkan emas esok (hari ini),” katanya yang turut bercita-cita menjadi guru.










