Buat rakyat yang dangkal perihal Dewan Parlimen - Utusan Malaysia

Buat rakyat yang dangkal perihal Dewan Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARLIMEN mempunyai makna signifikan dalam sistem demokrasi di Malaysia. Keteguhan Parlimen melambangkan keutuhan sistem demokrasi yang diamalkan di dalam negara ini. Seperti United Kingdom, Malaysia juga menggunakan sistem dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Kedua-dua Dewan ini mempunyai perbezaan ketara dari aspek keahlian sehinggalah ke aspek peranan yang dimainkan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Lantaran itu, adalah satu hujah yang tempang sekiranya terdapat individu yang menyatakan Dewan Negara seolah-olah mengkhia­nati atau menikam belakang Dewan Rakyat seandainya membuat keputusan tidak selari dengan dapatan Dewan Rakyat.

Keahlian Dewan Rakyat adalah berbeza dengan keahlian Dewan Negara. Walaupun kedua-dua ahli Dewan ini memakai gelaran Yang Berhormat, tetapi masih terdapat perbezaan ketara. Perbezaan ini jelas dinyatakan dalam Perkara 45 dan 46 Perlembagaan Persekutuan. Di bawah Perkara 46, keah­lian Dewan Rakyat dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya manakala melalui Perkara 45, keahlian Dewan Negara pula mengikut ketetapan Perlembagaan yakni dua orang ahli setiap negeri yang dipilih mengikut Jadual Ketujuh, dua orang dipilih dan dilantik bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan satu bagi Putrajaya dan Labuan, selebihnya adalah 40 ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seterusnya Perkara 45(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan ahli-ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong adalah terdiri daripada mereka yang pada pandangan Yang di-Pertuan Agong merupakan seorang yang memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau mencapai keunggulan dalam profesion, perdagangan, perindustrian, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau yang mewakili ras minoriti atau berkebolehan mewakili kepentingan Orang Asli. Ketetapan ini tidak wujud untuk ahli Dewan Rakyat. Kerana itu, Dewan Rakyat mempunyai ahli dewan yang tidak berlandaskan prestasi kerja.

Perbezaan ini membolehkan Dewan Negara, secara ideal, dianggotai oleh seorang profesional yang arif dalam bidang masing-masing serta mampu bersuara bagi pihak minoriti. Ini dapat dilihat ada kalanya Dewan Negara mempunyai ahli yang mewakili golongan kelainan upaya dan golongan seni. Keadaan ini berbeza dengan keadaan keahlian Dewan Rakyat yang bergantung kepada pilihan rakyat.

Kewujudan Dewan Negara adalah penting dalam menjalankan semak dan imbang cadangan rang undang-undang (RUU) yang dibawa dari Dewan Rakyat. Sesuai dengan latar belakang ahli Dewan Negara yang secara idealnya mewakili kumpulan tertentu atau mempunyai kepakaran tertentu, setiap RUU yang diluluskan di Dewan rakyat akan diteliti dan dibahas oleh ahli Dewan Negara. Meskipun Dewan Negara tidak boleh menolak sesuatu rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat tetapi Dewan Negara masih mempunyai kuasa untuk memastikan kekemasan RUU itu memandangkan proses perbahasan RUU di Dewan Negara adalah serupa dengan Dewan Rakyat.

Tuntasnya, kewujudan dan kepentingan Dewan Negara tidak boleh dinafikan sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Mana-mana ahli dewan wajar menghormati pendirian ahli dewan lain dalam menjalankan peranannya. Pemahaman inilah yang membezakan taraf pemikiran ahli dewan Malaysia sama ada masih di kelas ketiga atau telah menginjak ke kelas pertama.

PENULIS ialah pengamal undang-undang sivil dan syariah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN