JEMPOL 25 Sept. – Sepasukan anggota bomba terpaksa dipanggil bagi menyelamatkan seekor anak kucing yang terperangkap kira-kira tiga jam di bawah bumbung sebuah rumah di Taman Seri Serting di sini hari ini.
Kejadian itu disedari pemilik kucing, Noor Salina Salim, 37, yang terdengar bunyi anak kucing mengiau seperti kesakitan semasa mencuci kain di rumahnya kira-kira pukul 11 pagi.
Katanya, dia mencari bunyi tersebut dan mendapati seekor anak kucing tersepit di bumbung rumahnya.
“Saya memanggil jiran untuk membantu namun tidak berjaya kerana bumbung agak tinggi. Selepas itu, beberapa rakan menyarankan saya memanggil pihak bomba kira-kira pukul 2.20 petang.
“Anggota bomba yang tiba tidak berapa lama kemudian berjaya membawa turun anak kucing tersebut,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol, Saiful Anuar Wahab berkata, seramai enam anggota bomba dan sebuah jentera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada pukul 2.20 petang.
“Anggota bomba berjaya menurunkan anak kucing itu dalam tempoh lima minit. Anak kucing yang dipercayai berusia dua minggu itu berada dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada pemiliknya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











