KUALA LUMPUR 16 Sept. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakar sejarah apabila mengutip 11 pingat emas sekali gus menduduki tempat ketiga daripada lebih 60 negara yang bertanding dalam kejohanan World Firefighters Games 2018 (WFG) di Chungju, Korea Selatan pada 10 sehingga 17 September lalu.
Ketua Kontinjen JBPM, Hamdan Ali berkata, pasukan Malaysia berjaya meraih 11 pingat emas dan masing-masing tiga pingat perak serta gangsa.
Menurutnya, kejayaan yang itu melepasi sasaran kutipan lima pingat emas yang ditetapkan JPBM dengan sukan badminton meraih empat pingat emas.
“Melalui sukan badminton JPBM meraih empat emas menerusi Mohd. Mursidi Nazri menerusi perseorangan lelaki terbuka, Mustafa Abdul Hadi (perseorangan lelaki senior), Syed Hussin Syed Mustafa (perseorangan lelaki master) dan kategori beregu lelaki grand master diwakili A’azelan Hassan serta Zainal Abidin Nong Chik.
“Dua pingat emas diraih JBPM dalam acara sukan bina badan menerusi PBK II Rosliee Suyut dalam kategori 70 kilogram – 80 kilogram manakala PB Ezam Aziery Mamat pula meraih emas kategori 80kilogram-90kilogram,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











