Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah tentu mempunyai sebab tersendiri apabila mengakui tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian anggota Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru melepasi 100 hari pemerintahan. Perkara ini bukan sesuatu yang pelik jika mengambil kira cara bekerja Dr. Mahathir sebelum ini. Beliau seorang yang sangat kuat bekerja. Maka tidak hairanlah apabila Perdana Menteri menegaskan kalau boleh beliau mahu apa yang diarahkan, ‘disiapkan’ kelmarin dan bukan ‘hari ini.’
Barisan menteri yang kebanyakannya muka baharu dan masih belum berpengalaman perlu mengambil serius kata-kata Dr. Mahathir ini. Setelah 100 hari berlalu, rakyat sudah mula menilai prestasi perkhidmatan mereka. Setakat ini ada yang menunjukkan prestasi baik, sederhana dan tidak terkecuali ada juga masih ‘terkial-kial.’
Terdapat juga segelintir menteri yang lebih gemar memberi perhatian kepada isu-isu kecil dan remeh-temeh sehingga terlupa dengan isu-isu pokok dan perkara dasar yang memerlukan perhatian segera. Sebahagian daripada mereka juga masih tidak dapat keluar daripada ‘kepompong pembangkang’ sehingga ‘terlupa’ bahawa mereka sekarang adalah kerajaan yang memerintah.
Awang ucapkan tahniah kepada beberapa menteri yang walaupun belum setahun jagung tetapi sudah menunjukkan kesungguhan bekerja, responsif ke atas apa sahaja masalah dan berusaha untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat. Amat jarang sekali kedengaran mereka berpolitik.
AWANG – Tolong ambil peringatan.










