BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 25 SEPTEMBER 2018 - Utusan Malaysia

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT – 25 SEPTEMBER 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWANG menyambut baik arahan supaya pemaju perumahan menurunkan harga rumah berikutan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas bahan binaan dan perkhidmatan. Pemaju tidak mempunyai alasan lagi apabila bahan binaan seperti simen, batu bata dan keluli dikecualikan SST.

Diharapkan, arahan itu tidak bukan sekadar mahu melegakan pembeli dan mewajarkan pengecualian. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan susulan bagi memastikan penjimatan sebanyak 6 peratus itu sampai kepada golongan pembeli.

Pemaju mungkin memberi pelbagai alasan bagi menangguhkan arahan berkenaan termasuk bahan binaan dibeli semasa GST dikenakan. Maknanya, projek yang sedang dalam pembinaan atau hampir siap akan terus kekal pada harga yang ditetapkan sebelum ini.

Dalam hubungan ini, Awang mahu pemaju jujur untuk menurunkan harga terutama melibatkan projek dalam pembinaan. Hentikan kos tersembunyi yang menyebabkan harga kekal seperti menawarkan pakej kemasan atau kelengkapan perabot dan pelbagai lagi. Pakej tambahan seumpama ini menyumbang kenaikan harga.

Selain pihak berkuasa, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) juga dapat memainkan peranan yang lebih berkesan supaya pembeli mendapat harga yang sewajarnya.

Awang berharap, pemaju tidak terlalu mengejar keuntungan sehingga menjejaskan spesifikasi rumah atau mengabaikan kualiti bahan binaan. Pemaju juga perlu memberi perhatian terhadap rumah mampu milik.

AWANG – Tanggung hutang rumah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN