AWANG tidak terkejut dengan keputusan dua pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kelmarin. Seperti dijangka, Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan kerusi DUN Seri Setia dan Balakong melalui calonnya dari PKR dan DAP.
Ini kemenangan ketiga PH selepas mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis. Dengan keputusan itu lengkaplah ‘ujian awal’ kepada kerajaan dan pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu.
Di mana-mana PRK sekali pun, peluang kerajaan yang memerintah adalah lebih baik kecuali kawasan berkenaan merupakan kubu kuat parti. Di Balakong, penguasaan DAP tidak dapat disangkal lagi. MCA sekadar mahu melihat sejauh mana sokongan yang masih berbaki selepas kalah teruk pada PRU-14.
Barisan Nasional (BN) melalui UMNO dan Pas perlu menerima hakikat bahawa calon mereka ditolak oleh majoriti pengundi. Begitu juga MCA yang bertanding atas logo sendiri gagal menunjukkan keupayaan untuk memenangi hati pengundi-pengundi Cina.
Lebih tercabar apabila DAP menyarankan MCA ‘tutup kedai’. Kepemimpinan MCA boleh menentukan hala tuju parti itu.
Awang bagaimanapun melihat keputusan di Seri Setia menunjukkan pengundi-pengundi masih menaruh harapan kepada blok pembangkang terutama melibatkan kerjasama UMNO-Pas. PRK itu sebagai permulaan bagi mencari persefahaman yang lebih baik pada masa hadapan.
AWANG – Tunggu PRK Anwar Ibrahim.










