SHAH ALAM – Kerajaan akan menggabungkan bil perkhidmatan pembetungan yang dikendalikan oleh Indah Water Konsortium (IWK) bersama bil air yang diterima oleh para pengguna selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, langkah itu merupakan satu penyelesaian terbaik dalam memastikan peningkatan kutipan IWK secara keseluruhannya.
Katanya, penggabungan bil tersebut bukan perkara baharu memandangkan telah berjaya dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan sebelum ini.
“Kita akan menggunakan model yang digunakan di Labuan tersebut untuk diapilkasikan bagi memastikan kelangsungan IWK sebagai syarikat pembetungan di negara ini.
“Kutipan yang diperoleh kini dilihat tidak mampu menanggung kos pentadbiran sehingga memaksa kerajaan terpaksa menyalurkan peruntukkan RM150 juta setahun kepada IWK,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program bicara minda bertajuk Kita di Abad 21: Tak Selesai Lagi Isu Air di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15 di sini hari ini.
Jelas beliau, perlaksanaan penggabungan bil itu akan dilakukan di tiga buah negeri terlebih dahulu iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.
“Bagaimanapun, kita tidak merancang menaik tarif perkhidmatan pembetungan buat masa sekarang,” katanya. – K! ONLINE










