KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yakin tidak melakukan sebarang kesalahan dalam urusan pembelian tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memandangkan ia dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan undang-undang.
Pengurus Bahagian Komunikasi Korporat, Penyelidikan dan Tugas-Tugas Khas YWP, Datin Ida Harlina Ikhwan Nasir berkata, YWP telah membuat permohonan secara rasmi kepada pihak berkuasa dalam sebarang urusan pembelian hartanah mengikut saluran yang betul.
Katanya, setiap hartanah yang dibeli YWP dibayar mengikut harga pasaran tanpa sebarang diskaun selain dibangunkan semula mengikut perundangan setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah berjumpa YWP dengan cara yang baik untuk siasatan. Kita serahkan kepada SPRM untuk menjelaskan bagaimana kedudukannya. Bagi pihak yayasan kami tidak membuat sebarang kesalahan.
“Kami memohon (membeli) tanah secara rasmi kepada pihak-pihak berkuasa dan telah diberi maklum balas bahawa tiada masalah untuk membeli tanah-tanah tersebut,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini semalam.










