Bertangas berkesan pulihkan dara? - Utusan Malaysia

Bertangas berkesan pulihkan dara?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APAKAH yang dimaksudkan dengan bertangas? Benarkah ia dapat memulihkan dara wanita?
SYIKIN, Johor.

Jawapan

Soalan yang diutarakan amat menarik sekali. Mungkin jawapan yang saya berikan adalah pendapat saya sebagai pengamal perubatan moden. Saya tidaklah ingin menimbulkan apa-apa kontroversi kepada pengamal perubatan tradisional. Saya tidak menyangkal kebaikan perubatan tradisional yang telah diamalkan sejak turun-temurun.

Alangkah baiknya jika rawatan ini dapat dibuktikan secara kajian saintifik. Saya yakin sudah tentu pengamal perubatan moden akan mengamalkannya dalam perawatan harian mereka.

Pada masa ini, masih belum ada kajian secara klinikal yang dijalankan dan laporan yang dibuat adalah daripada pengalaman nenek-moyang kita turun-temurun. Saya sebenarnya kurang pasti sama ada ia boleh memulihkan dara seseorang wanita yang telah melahirkan anak ataupun tidak.

Maksud pemuliharaan dara ini juga amat meluas. Saya agak yang dimaksudkan mungkin kemutan faraj yang masih dapat dikekalkan (masih ketat) walaupun telah menjalani proses kelahiran.

Namun begitu, ramai tidak pasti untuk apa keperluan bertangas. Saya sendiri kurang mengetahui kebaikan bertangas dan juga tidak pernah mengamalkannya walaupun pernah melahirkan anak lima kali. Jawapan yang saya akan berikan adalah daripada bacaan saya dan juga perbincangan saya bersama pengamal perubatan tradisional.

Bertangas ini sebenarnya ialah mandi wap. Bukan terhad kepada wanita sahaja dan juga bukan untuk kaum Melayu sahaja. Bertangas untuk wanita bagus dilakukan setiap kali selepas bersalin dan selepas haid. Mungkin ramai yang sangka ia hanya untuk selepas pantang bersalin, namun sebenarnya bagus untuk setiap kali selepas haid.

Bertangas akan mengeluarkan peluh dan menyebabkan toksin keluar daripada badan. Bagi ibu bersalin, ia juga dapat membantu proses penyembuhan dan kemutan faraj dan rahim.

Rawatan bertangas terdapat dalam pelbagai cara dan ramuan. Biasanya terdapat dalam dua jenis iaitu bertangas kering dan basah. Bertangas kering juga dikenali sebagai bertangas herba. Ia hanya menggunakan batu sungai yang dipanaskan dan diletakkan ramuan tertentu.

Rawatan ini dilakukan selepas hari ke-30 bersalin selama 10 hari berturut-turut apabila darah nifas telah kering. Rawatan ini dipercayai dapat mengeluarkan sisa toksin dan merawat luka. Jika selepas haid, boleh dilakukan selepas hari keenam, selama tiga ke tujuh hari.

Bertangas basah pula menggunakan ramuan rempah ratus dan herba yang direbus. Untuk mereka yang berpantang bersalin, mulakan rawatan selepas hari ke-40 iaitu selepas tangas kering dan dilakukan sehingga 100 hari. Untuk selepas haid, dilakukan selepas darah kering juga. Amalan ini dipercayai dapat menghasilkan daya kelembapan kulit yang mantap di bahagian alat sulit.

Ia juga dapat mengelakkan kelesuan kulit dan bau badan. Ketika rawatan bertangas basah, boleh amalkan senaman kemutan otot rahim atau Kegel exercise untuk kekuatan otot faraj dan rahim. Bertangas dibuat dengan menyelubung seluruh badan dengan kain dari paras leher ke paras lantai agar wap tangas menyeluruh kena pada badan.

Sememangnya rawatan ini adalah mudah, murah dan boleh dilakukan sendiri di rumah tanpa mengeluarkan belanja besar serta mengambil masa yang lama.

Namun wanita moden sekarang ramai yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga mengabaikan rawatan dalaman ini yang boleh membawa kesejahteraan rumah tangga dan kesihatan serta kebersihan diri.

Sememangnya wanita tidak perlu risau melakukannya kerana kebanyakan spa yang terdapat di Malaysia ada menyediakan rawatan bertangas dengan cara yang sedikit berbeza malah lebih selesa iaitu diletakkan di dalam alat mandi wap kanvas dan diletakkan serbuk herba tersebut yang telah dikisar atau dimesin halus ke dalam periuk kukusan elektrik yang tersedia di dalam kanvas tersebut. Ia cepat dan mudah untuk digunakan. Proses rawatannya juga hanya 20 hingga 30 minit.

Oleh itu rawatan tradisional ini masih boleh diamalkan walaupun zaman sudah berubah. Sebagai wanita mungkin anda boleh mencubanya jika anda berkemampuan dan berkelapangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN