Bersatu kaji sambutan rakyat Sarawak - Utusan Malaysia

Bersatu kaji sambutan rakyat Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 7 Sept. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengkaji terlebih dahulu sambutan rakyat Sarawak sebelum membuat sebarang keputusan menubuhkan parti itu di negeri ini.

Menteri Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, sambutan tersebut akan diukur berdasarkan pendaftaran keahlian yang diterima dan sokongan padu daripada rakyat di sini dalam masa terdekat.

“Kedatangan kita bukan untuk memecahbelahkan rakyat di sini tetapi melihat jika ada ruang untuk menyatupadukan dan membantu dalam memperkasakan lagi gagasan perjuangan rakyat di Sarawak.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dan terharu melihat sokongan padu daripada ahli-ahli yang telah mendaftar untuk bantu kami mengukur sokongan membentuk parti di Sarawak yang mana mendapat sambutan luar biasa jika dilihat hari ini berbanding awal penubuhan kita di Semenanjung,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Suai Kenal Bersamanya di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri merangkap Ahli MPT Bersatu, Muhammad Zahid Mat Arip dan Pengerusi Sekretariat Majlis Suai Kenal itu, Mahmud Sabli.

Mohd. Redzuan telah dilantik sebagai penyelaras oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan MPT bagi mengkaji penubuhan parti itu di negeri ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan melantik ketua pendaftar di setiap 31 parlimen di sini dalam mengumpulkan borang keahlian.

“Kita datang ke sini atas dasar melihat ramai mahu menubuhkan Bersatu di sini sebagai alternatif dan memperkasakan lagi kesatuan rakyat Sarawak.

“Tidak timbul isu nak menggantikan parti lain, apapun perbincangan kelak akan dibuat di peringkat MPT di samping konsultasi bersama parti sedia di sini.

UDA kekal bawah KPU

Sementara itu, ketika ditanya mengenai UDA Holdings Berhad (UDA) yang difahamkan akan dipindahkan ke kementerian lain, Mohd. Redzuan berkata, perkara berkenaan tidak benar.

“UDA keseluruhan berada di bawah seliaan kementerian saya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN