LUMUT 17 Sept. – Selepas bersara dari perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Md. Salleh Harmine, 63, mengambil peluang menternak ikan keli bunga dalam tangki simen di Lekir dekat sini sejak Mac lalu.
Tanpa mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut, dia memperuntukkan sebanyak RM30,000 menggunakan wang sendiri bagi membina tangki, membeli benih, makanan dan sebagainya berkaitan ikan keli.
Menurutnya, dia hanya mencari maklumat secara dalam talian mengenai ternakan ikan keli dan kini berpuas hati apabila usahanya itu berjaya malah turut memasarkan produknya melalui laman sosial khususnya aplikasi WhatsApp dan Facebook.
“Dalam dunia komunikasi tanpa had hari ini, saya perlu menyesuaikan diri dengan memasarkan produk melalui laman sosial kerana ia berkesan, meluas dan memudahkan pembeli.
“Bukan semua orang ramai sanggup memandu kereta untuk ke Lekir semata-mata mahu mencari ikan keli, jadi mereka boleh mencari alternatif iaitu melalui laman sosial,” katanya.
Menurutnya, setakat ini dia mempunyai tiga tangki simen yang menempatkan kira-kira 4,000 ekor ikan keli yang diberi makanan palet, roti dan azola iaitu sejenis rumpai laut untuk bekalan protein.








