Berlatih di lokasi jauh beri semangat untuk tuai emas - Utusan Malaysia

Berlatih di lokasi jauh beri semangat untuk tuai emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Perjalanan pergi balik sejauh ribuan kilometer (km) untuk berguru di Perlis dan Pahang bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2018 menjadi faktor utama kejayaan penembak Terengganu, Muhamad Qamarul Naim Abu Aziz memenangi pingat emas acara me­nembak lelaki kategori 50 meter (m) pistol di Kompleks Menembak Darul Ridzuan semalam.

Lebih membanggakan, Qama­rul turut berjaya meleburkan rekod Sukma 2014 milik Jasmi Mohamad dengan mengatasi satu bidikan berbanding rekod terdahulu milik penembak Negeri Sembilan itu adalah 540 bidikan.

Bidikan itu menyaksikan Qamarul mengatasi penembak Perak, Siau Zianyi (530 bidikan) yang meraih pingat perak, manakala gangsa menjadi milik atlet Johor, Muhammad Hudzriy Jaslan yang meraih 517 mata.

Bagaimanapun kejayaan atlet berasal dari Tok Jiring, Kuala Terengganu itu tidak datang bergolek selepas Qamarul mendedahkan dia terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh bagi membuat persiapan rapi memandangkan tiada lapang sasar menembak di negerinya.

Dua minggu sebelum turun ke Sukma, penembak berusia 21 tahun yang membuat penampilan ketiga di temasya dwitahunan ini, mengakui dia terpaksa menjalani sesi latihan empat kali di Kompleks Lapang Sasar Majlis Sukan Pahang dan dua kali di Komples Lapang Sasar Perlis.

Jarak perjalanan pergi dan balik Terengganu ke Pahang ialah 452km, manakala dari Terengganu ke Perlis pula sejauh 1,018km.

Justeru, Qamarul berharap kejayaan memenangi emas dapat membuka mata kepada mana-mana pihak khususnya kerajaan negeri untuk menyediakan lapangan sasar menembak buat atlet-atlet Terengganu.

“Cuma seminggu sebelum Sukma 2018, saya membuat keputusan untuk tinggal di Perlis memandangkan negeri Utara itu sudah dekat dengan Perak. Saya sangat gembira kerana usa­ha keras ini telah memberikan satu kejayaan manis.

“Jika saya berlatih di Terengganu, tiada apa yang boleh dilakukan memandangkan tiada lapangan sasar di sana. Suka atau tidak, saya harus mencari alternatif lain untuk persiapan di Sukma ini.

“Saya percaya kita akan menjadi lebih bagus dan baik jika lapangan sasar menembak didirikan di Terengganu kerana para atlet tidak perlu lagi berlatih di negeri orang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN