KUALA LUMPUR 19 Sept. – Datuk Zakaria Arshad menyifatkan pengundurannya daripada FGV Holdings Berhad (FGV) bagi membolehkan muka-muka baharu dibawa masuk untuk menerajui syarikat perladangan tersebut.
“Saya ingin memberi peluang kepada pengurusan baharu yang akan dibawa masuk oleh Pengerusi dan juga Ahli Lembaga Pengarah. Saya tahu saya mempunyai kes yang kukuh (untuk mencabar penggantungan itu), tetapi saya tidak mahu buang masa dan melaluinya sekali lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini malam tadi.
Semalam, Zakaria meletak jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV setelah digantung tugas sejak 13 September lalu.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, FGV berkata, dengan peletakan jawatan itu, penggantungannya yang diumumkan sebelum ini telah berakhir.
Bagaimanapun, penyiasatan forensik yang dinyatakan dalam kenyataan FGV daripada lembaga pengarah pada 28 Ogos akan diteruskan. Siasatan yang dimulakan pada akhir 2017 dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.
Menerusi kenyataan berasingan semalam, Zakaria berkata, ketika mengambil alih jawatan berkenaan pada 2016, syarikat itu sudah pun mengalami masalah yang serius.
“Usaha saya untuk menangani masalah terbabit menghadapi pelbagai halangan daripada pelbagai sudut. Saya harap keadaan ini akan segera diselesaikan dengan kepimpinan pengerusi dan lembaga pengarah,” katanya.
Keuntungan sebelum zakat dan cukai FGV pada suku kedua 2018 merosot 98.78 peratus kepada RM1.25 juta berbanding RM102.44 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu. Pendapatan juga menyusut kepada RM3.44 bilion berbanding RM4.21 bilion pada suku sama tahun lalu.
Prestasi lemah itu antara lain disebabkan oleh produktiviti lebih rendah yang tidak mencapai sasaran, harga purata minyak sawit mentah (MSM) lebih rendah, kos pengeluaran lebih tinggi dan perkongsian kerugian daripada syarikat usaha sama serta sekutu yang lebih tinggi.











