Bercuti dalam suasana kampung - Utusan Malaysia

Bercuti dalam suasana kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJALANAN selama hampir dua jam dari Kuala Lumpur ke bandar Jerantut serta-merta menukarkan mood penulis daripada kehidupan bandar kepada suasana alam semula jadi dalam persekitaran kampung yang mendamaikan jiwa.

Di kiri dan kanan jalan, kelihatan pokok-pokok menghijau dan dari jauh, pemandangan pergunungan memperlihatkan gunung-ganang yang belum terusik.

Sebaik sahaja sampai ke Jerantut, penulis meneruskan lagi perjalanan menuju ke Kampung Labu yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar itu.

Mata tidak lekang disaji dengan pemandangan menghijau yang begitu meralitkan.

Destinasi yang dituju adalah sebuah inap desa yang terletak di tengah Kampung Labu. Menginap di situ pasti akan membuai jiwa dengan kehidupan dan suasana kampung yang sebenar.

Tatkala kaki melangkah masuk ke Inap Desa Kampung Labu, penulis disambut mesra oleh pemilik yang menguruskan sendiri penginapan itu, Baharudin Aziz, 70, dan isterinya, Maimun Mohd. Nong, 64.

Rumah milik pasangan suami isteri itu dibina daripada kayu cengal. Tersergam indah di tengah kampung dan di sebelah kirinya pula, terselit lima buah rumah yang dijadikan inap desa. Kemudahan penginapan itu setia menunggu pengunjung pada setiap masa.

Menurut Maimun, dia dan suami membuka inap desa itu sejak beberapa tahun lalu dan mendapat sambutan menggalakkan terutama dalam kalangan syarikat korporat dan pelajar universiti.

“Ramai yang datang untuk berkursus kerana kami ada sediakan dewan yang boleh memuatkan maksimum 40 orang dalam satu masa,” kata Maimun kepada S2.

Menurutnya, selain berkursus, peserta yang menginap di situ juga ditawarkan pakej aktiviti pelancongan termasuk melawat ke Taman Negara Pahang yang terletak kira-kira 30 minit dari kampung itu.

Aktiviti lain katanya adalah menikmati buah-buahan tempatan seperti durian jika tiba musimnya.

Kesemua inap desa yang disediakan itu terletak berasingan dengan rumah pemilik, sekali gus memberikan lebih keselesaan kepada pengunjung.

Kata Maimun, kesemua inap desa itu mampu memuatkan antara 30 hingga 40 orang dalam satu masa.

Bagi membangkitkan suasana kehidupan kampung, pakej penginapan inap desa itu turut menyajikan makanan tradisional Pahang seperti Masak Tempoyak Ikan Patin, Sambal Hitam, Gulai Asam Rong dan ikan-ikan sungai yang ditangkap sendiri dari Sungai Tembeling.

“Sungai Tembeling terletak di belakang inap desa ini. Jadi…,ikan-ikan sungai selalu menjadi santapan istimewa pengunjung,” katanya.

Menurutnya, untuk golongan pelajar universiti, pakej penginapan tiga hari dua malam berharga RM170 seorang, manakala syarikat korporat atau individu berjumlah maksimum lapan orang pula berharga RM250 seorang.

“Jumlah peserta minimum yang diperlukan untuk setiap pakej adalah lapan orang. Ini bagi memudahkan urusan aktiviti ke Taman Negara Pahang.

“Ada juga yang sekadar mahu menginap di sini untuk merasai kehidupan kampung. Ini boleh diaturkan,” katanya.

Bagi yang berminat merasai kehidupan kampung yang sebenar, boleh menghubungi Maimun di talian 019-9117049.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN