ARAU – Rakyat negara ini khususnya golongan belia seharusnya menanam sifat benci dan alergi dengan amalan rasuah tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, semangat anti rasuah perlu diterapkan khususnya melibatkan pimpinan dan penggerak mahasiswa.
“Mereka akan menjadi pemimpin pada masa depan dan hari ini.
“Mahasiswa khususnya perlu benci dan alergi rasuah. Saya berbangga kerana skuad anti rasuah ada di semua universiti awam.
“Teruskan semangat perjuangan anti rasuah tanpa mengira agama, bangsa dan negara,” katanya kepada pemberita pada Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KoMawAR) di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamsun Baharin Mohd. Jamil dan Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Saddiq yang baharu berusia 26 tahun itu memberitahu, kementeriannya komited memperkasa integriti dan urus tadbir yang baik dalam memerangi gejala rasuah.
“Saya dan timbalan akan isytihar harta dan komited bekerjasama dengan SPRM untuk memerangi rasuah termasuk amalan bookie yang melibatkan atlet serta pentadbiran persatuan sukan,” katanya. – K! ONLINE










