KANGAR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis mendakwa beberapa orang pemimpin UMNO negeri ini akan menyertai parti itu.
Setiausahanya, Wan Saiful Wan Jan berkata, beberapa pertemuan dan rundingan dengan pemimpin berkenaan telah dan masih berjalan serta menunjukkan tanda-tanda positif.
“Saya fikir masanya tidak lama lagi mereka menyertai Bersatu. Bagaimanapun, saya tidak boleh dedah nama pemimpin berkenaan sehingga segala-galanya diputuskan.
“Kami bersedia terima mereka yang kecewa dengan UMNO negeri berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lepas,” katanya kepada media semasa ditemui selepas meninjau Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis yang rosak dipukul ribut Isnin lepas di sini hari ini.
Wan Saiful mendakwa berdasarkan maklum balas dan sentimen sekarang, rakyat Perlis mahukan perubahan namun kerajaan negeri yang diterajui UMNO telah gagal memenuhi kehendak mereka. – Bernama











