PUTRAJAYA 25 Sept. – Kerajaan hari ini membuat pusingan U dengan memutuskan untuk kembali kepada struktur lama pembayaran levi bagi lanjutan permit pekerja asing yang mana majikan perlu membayar sepenuhnya levi berkenaan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu adalah berikutan aduan oleh golongan pekerja yang menyatakan bahawa mereka tidak mampu membayar bahagian levi berkenaan sepertimana dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan semalam.
“Dengan kembalinya ke struktur asal, maka levi sebanyak RM10,000 setahun dibayar sepenuhnya oleh majikan. Ini adalah untuk mereka yang memohon lanjutan selepas mereka bekerja di negara ini selepas tempoh 10 tahun. Bagi tempoh 10 tahun sebelum itu yang melibatkan bayaran RM1,850 setahun, tiada masalah.
“Ini memandangkan ada pandangan dari pihak kesatuan sekerja berhubung perkara ini yang mana mereka menyatakan tidak mampu membayarnya. Jadi kita menerima pandangan ini dan semua levi sebanyak RM10,000 setahun kita minta majikan bayar kerana pekerja tidak dapat bayar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, Guan Eng memberitahu, pekerja asing akan membayar 80 peratus daripada levi tahunan sebanyak RM10,000, dengan bakinya 20 peratus dibayar oleh majikan bagi memastikan kerajaan Persekutuan tidak hilang keuntungan kewangan.
Dalam pada itu Guan Eng berkata, majikan yang mempunyai pekerja asing yang sudah berkhidmat lebih 10 tahun dan mahu menyambung perkhidmatan mereka, bayaran levi tahunan berjumlah RM10,000 itu boleh dibuat bermula 1 Oktober ini.
“Kalau mereka tidak mahu membayar RM10,000 pekerja berkenaan boleh pulang ke negara asal terlebih dahulu dan datang semula sebagai pekerja baharu, jadi levi yang perlu dibayar hanya RM1,850,” katanya.
Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Abu Hassan Alshari Yahaya.
Berhubung aduan pelbagai pihak yang menyatakan bahawa sukar bagi perniagaan kecil untuk mendapat pinjaman khusus untuk industri kecil dan sederhana (IKS), Guan Eng berkata, terdapat dana sebanyak RM3 bilion untuk tujuan berkenaan.
“Dana ini ada dan untuk dipinjamkan kepada pengusaha IKS jadi, tidak susah bagi mereka. Bank Negara Malaysia sedia membantu dan boleh dihubungi melalui Abu Hassan” katanya.
Abu Hassan boleh dihubungi menerusi talian 03-26988044, talian terus 03-26919335, telefon bimbit 019-2821015 atau emel di [email protected]. – UTUSAN ONLINE










