Bapa mati lemas ketika cuba selamatkan anak - Utusan Malaysia

Bapa mati lemas ketika cuba selamatkan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN – Pengorbanan seorang bapa untuk menyelamatkan anak lelakinya yang hampir lemas berakhir dengan tragedi apabila ahli perniagaan tersebut maut sewaktu berkelah di Tanjung Jara di sini semalam.

Peter Haw Tah Ming, 54, yang bercuti bersama keluarganya di pusat peranginan tersebut sejak Sabtu lalu sempena cuti Hari Malaysia meninggal dunia dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan ke Hospital Dungun di sini pada pukul 4.30 petang.

Isteri Peter, Pang Siew Cheng, 53, berkata, sewaktu kejadian, dia dan suaminya berkelah di tepi pantai manakala dua anaknya, Metthew Haw, 25, dan Daniel Haw, 20, sedang mandi-manda di pantai pusat peranginan tersebut.

“Suami saya bergegas berenang ke pantai sebaik mendengar suara Metthew meminta pertolongan kerana hampir lemas akibat dihanyutkan arus deras.

“Begitupun, suami saya juga hampir lemas sebelum kedua-duanya (Peter dan Metthew) diselamatkan seorang anggota penyelamat pantai bertugas,” katanya ketika ditemui Kosmo! di perkarangan Unit Forensik Hospital Dungun di sini hari ini.

Siew Cheng berkata, seorang doktor yang kebetulan turut menginap di resort sama telah memberi rawatan awal termasuk bantuan penafasan kepada suaminya sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN