Bapa gadai nyawa selamatkan anak - Utusan Malaysia

Bapa gadai nyawa selamatkan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN 18 Sept. -Seorang bapa menggadaikan nyawanya untuk menyelamatkan anak yang diseret arus namun dia sendiri akhirnya lemas dalam tragedi musim percutian, di pantai berhampiran pusat peranginan Tanjung Jara di sini petang semalam.

Bapa gadai nyawa selamatkan anak
Peter Haw Tah Ming

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, Peter Haw Tah Ming, 54, seorang ahli perniagaan dari Petaling Jaya Selangor yang membawa keluarga untuk bercuti di sini sejak Sabtu lalu, meninggal dunia ketika dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Dungun.

Menurut isteri mangsa, Pang Siew Cheng, 53, sebelum kejadian, dia bersama mendiang suami berada di tepi pantai manakala dua anaknya Metthew Haw, 25, dan Daniel Haw, 20, sedang mandi.

Katanya, mereka kemudian terdengar jeritan Metthew yang hampir lemas akibat ditarik arus ke tengah laut, dan mendiang suaminya terjun ke dalam laut untuk menyelamatkannya.

“Suami terjun untuk menyelamatkan Metthew, dan kedua-dua anak berjaya naik ke pantai sebelum beberapa pekerja resort berjaya mendapatkannya. Bantuan pernafasan diberi oleh seorang doktor yang juga pengunjung resort, dan kemudian dikejarkan ke hospital.

“Suami selalu sibuk tetapi hari ini dia benar-benar luangkan masa bersama. Saya macam tidak percaya dia sudah pergi tinggalkan kami sekeluarga,”ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke hospital yang sama untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa jam 10 malam tadi untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur bagi urusan pengkebumian. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN