Bantulah negeri yang miskin ini - Utusan Malaysia

Bantulah negeri yang miskin ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA tidak terkejut dengan kenyataan Menteri Kewa­ngan, Lim Guan Eng. Memang sejak dahulu lagi negeri ini ­penerima terbesar bantuan kewangan daripada kerajaan Pusat. Berulang kali pemimpin Barisan Nasional (BN) menyebut perkara tersebut. Siap diletakkan data-data yang terperinci. Tetapi tiada siapa yang mahu ambil peduli. Guan Eng sendiri tidak endah ke­rana mereka – DAP dan Pas – adalah sekutu sebelum mufarakah pada 11 Julai 2015.

Hari ini, apabila Setiausaha Agung DAP itu sendiri menjadi sebahagian daripada kerajaan Pusat, baru beliau sedar realiti sebenar. Sudah lama BN hadap walau dituduh sebagai zalim. kerajaan BN pada ketika itu tetap membantu. Memberi dan terus memberi biarpun pentas ceramah macam nak runtuh kerana herdikan suara pemimpin Pas.

Sekarang semua itu sudah sejarah. BN sudah sama dengan Pas. Sudah berbaik-baik. Sebabnya sama-sama pembangkang. Namun jika dihitung kembali beberapa tahun kebelakangan ini dan lebih tepat pasca Pilihan Raya Umum Ke-13, BN amat pemurah dengan Kelantan. Yang diminta diberi dan ditambah-tambah pula.

Kenapa perlu dibantu Kelantan? Jawabnya, jauh sangat jurang di antara Negeri Serambi Mekah ini dengan negeri Pantai Barat. Sejak 1990 sehingga penghujung awal 2000 diabaikan. Serba serbi kurang. Jalan sempit. Kepala paip keluar angin. Bangunan harapkan yang lama. Kalau ada bangunan baharu itu pun kerja swasta. Pelabur jangan diharap. Siapa nak datang kalau yang asas pun tidak ada.

Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi me­ngubah pendekatan terhadap Ke­­lantan. Kembali dilihat. Perta­ma, diwujudkan Universiti Ma­laysia Kelantan (UMK) yang menjadi katalis kepada pemba­ngunan negeri ini. Nampaknya macam, “alah universiti, ada apa sangat pun.” Tetapi ramai yang tidak sedar. Untuk tempoh 10 tahun, UMK telah membawa masuk wang sebanyak RM1.3 bilion untuk perbelanjaan mengurus serta RM530 juta untuk pembangunan tiga kampusnya.

Malah menurut kajian setiap tahun pelajar universiti awam ke-19 itu membelanjakan seba­nyak RM50 juta dalam pelbagai bentuk. Setiap tahun juga UMK menyumbang sebanyak RM4.6 juta untuk sektor pengangkutan di negeri ini. Peluang pekerjaan ja­ngan dicerita, tumbuh bak cen­dawan selepas hujan. Kewujudan menara gading itu memberikan sumbangan ekonomi yang amat besar tetapi tidak dirasai cuma kelihatan lebih banyak gerai makanan dan manusia lalu lalang.

Itu baru bercerita mengenai UMK, belum lagi dihitung projek-projek pembangunan lain. Banyak tetapi masih tidak mencukupi untuk merapatkan jurang di antara Kelantan dengan ne­geri di Pantai Barat kerana ruang yang ditinggalkan terlalu lama. Masalah utama ialah jaringan perhubungan yang amat serius. Masa perjalanan untuk menghubungkan negeri ini dengan pusat bandar yang lain terlalu lama. Tidak ekonomik.

Dalam pada itu, satu hal yang harus diakui. Sumber negeri ini tidak dibangunkan atau digunakan sepenuhnya. Pemimpin-pe­mimpin parti pemerintah ne­geri lebih berminat membina seba­nyak mungkin pentas ce­ramah. Mereka juga berusaha mencari pembesar suara yang terbaik supaya alunan yang keluar dari halkum didengar dengan enak untuk dihadam sepenuhnya oleh rak­yat. Cuma pada era Datuk Ahmad Yakob sentuhan agak berbeza tetapi kekurangan bakat untuk membuat sesuatu yang ‘wow’.

Maka itu, kerajaan Pusat harus membantu. Tidak salah membantu negeri yang miskin kerana isi kandungnya juga rakyat Malaysia. Dan usaha ini dilihat lebih mudah kerana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa telah diletakkan di Dewan Negara. Khabarnya juga, beliau akan diberikan tanggungjawab besar untuk membantu negeri-ne­ geri Pantai Timur khusus­nya Kelantan.

Dan ini juga peluang terbaik untuk PH menambat hati rakyat kerana rakyat negeri ini ‘buta’ PH. Mereka hanya kenal biru tua dan hijau. Husam fasih benar dengan negeri kelahirannya ini. Beliau ialah orang kanan almarhum Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Lama benar beliau berada dalam kerajaan negeri, dari tahun 1990 sehingga 2013.

Kebijaksanaan Husam diakui oleh Nik Aziz; “Hu­sam dicipta Allah bukan hanya untuk negeri Kelantan, tetapi juga untuk Malaysia.”

Rakyat Kelantan pastinya menaruh harapan pada beliau sebagai penghubung mereka dengan Putrajaya. Mungkin ramai juga yang terlupa, bekas Exco (kanan) kerajaan Pas Kelantan itulah yang memulakan gerakan menuntut royalti minyak dan melahirkan idea pembinaan kereta api laju ke negeri Pantai Barat.

Inilah masanya untuk melaksanakan dua perkara besar itu. Pulangkan royalti kepada kerajaan Pas Kelantan seperti­mana yang dilaungkannya sebelum ini dan wang itu digunakan untuk membina kereta api laju sepertimana yang diilhamkannya.

Tiada siapa lagi untuk bergantung harap. UMNO dan BN masih tidur nyenyak untuk masa yang lama kerana mereka sedang enak dibuai mimpi notalgia lama. Pas pula tiada apa yang boleh diulas. Hanya kerajaan PH tempat meng­adu. Justeru, bantulah ne­geri yang ‘miskin’ ini. Hikmahnya amat besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN