KUALA LUMPUR – Hasil jualan dua buah buku masakan yang dihasilkan oleh Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan disalurkan ke dalam Tabung Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
Tunku Azizah bertitah, dana TAFF yang diperoleh melalui hasil keuntungan daripada penjualan dua buah buku berjudul Air Tangan Tengku Puan Pahang Masakan Tradisional Pahang dan Air Tangan Tengku Puan Pahang Manisan Tradisional Pahang itu akan digunakan untuk membantu 250 pasangan mendapatkan zuriat.
“Saya berharap dengan dana yang terkumpul daripada penjualan buku ini, TAFF dapat membantu 250 pasangan untuk berikhtiar mendapatkan zuriat.
“Sudah beberapa tahun TAFF tidak menghantar pasangan untuk menjalani rawatan kesuburan dan dengan pelancaran buku ini, kami sudah boleh menyaring semula calon-calon yang sesuai,” titah baginda pada sidang media berkaitan penjualan secara online dua buah buku itu di Hotel Mandarin Oriental di sini semalam.










