MUAR 25 Sept. – Sebuah syarikat dan seorang pengarah sebuah syarikat lain didenda di Mahkamah Sesyen di sini masing-masing RM150,000 dan RM80,000 selepas mengaku bersalah menjual dan membekal baja kimia kepada pembeli tanpa lesen pada Mac hingga Julai lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Amran Jantan terhadap Unigrow Agriculture Sdn. Bhd. dan Tan Yin Ken, 35, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Unigrow Agriculture yang diwakili pengarahnya didakwa atas tiga pertuduhan sebagai sebuah syarikat yang bukan pemegang lesen borong sah dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan.
Syarikat itu didapati bersalah menjual secara borong baja kimia sebanyak 15,250 kilogram (kg) kepada tiga syarikat lain di Lot 14477, Kampung Kebun Sayur, Bakri, Muar antara 13 Mac hingga 7 Mei lalu.
Bagi pertuduhan terhadap Yin Ken, tertuduh sebagai pemegang lesen CSA borong didakwa telah membekalkan baja kimia sebanyak 45,000 kg kepada Unigrow Agriculture Supply Sdn. Bhd. yang tidak mempunyai lesen borong sah di alamat sama pada 4 Julai lalu. – UTUSAN ONLINE










