KULAI – Seorang penuntut Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Nordziakon Husnan tidak menyangka mengalami detik-detik cemas selepas terkandas empat hari di Hokkaido, Jepun yang dilanda taufan Jebi dan gempa bumi pada Khamis lalu.
Nordziakon, 32, yang berada di negara tersebut sejak 1 September lalu kerana bercuti seorang diri berkata, dia hanya memikirkan nasibnya yang diibaratkan seperti telur di hujung tanduk.
Menurutnya, pengalaman pahit terkandas selama empat hari bermula pada 5 September lalu apabila salinan pas masuk yang dicetak sendiri dengan menggunakan kertas A4 itu tidak diterima oleh pasukan keselamatan Lapangan Terbang Sapporo, Jepun ketika mahu berlepas pulang ke tanah air.










