Azura ada 'kuasa' baca tulisan tangan - Utusan Malaysia

Azura ada ‘kuasa’ baca tulisan tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Tulisan anda tidak teratur, malah bentuk huruf ‘P’ juga ada gelung sedikit di bahagian bawah yang membawa maksud anda mempunyai tenaga yang banyak serta suka melakukan aktiviti fizikal. Namun, anda bukanlah individu yang teratur terutama dalam bab mengemas.”

Demikian kata Dr. Azura Hashim sebaik melihat tulisan pada buku nota saya ketika sesi temu ramah di pejabatnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Apa yang mengejutkan, perkara yang dianalisis wanita itu tepat sekali dengan diri saya. Mulanya, agak kelakar dan mengejutkan, namun kemudian rasa ‘seriau’ kerana ada individu yang mampu meneka karakter saya walau baru pertama kali bertemu dan hanya ‘membacanya’ melalui tulisan.

Perasaan pula sudah pasti bercampur baur dek malu dengan sikap-sikap yang tidak elok yang sebelum ini tidak ditunjukkan apatah lagi kepada individu yang baru dikenali, tetapi kini sudah terbongkar.

Pun begitu, percakapan Azura lembut dan tenang, malah memek mukanya juga tidak menunjukkan rasa kurang senang seperti mencebik dan memandang serong, biar pun dia sudah pasti tahu sesuatu tentang personaliti saya.

Saya pula, tidak senang duduk apabila perlu berdepan wanita hebat itu yang merupakan antara individu yang sangat mahir dalam menganalisis tulisan tangan di negara ini.

Percayakah anda, melalui tulisan, kita mampu mengetahui personaliti atau keperibadian seseorang.

Tulisan tangan dikatakan lahir daripada minda separa sedar, iaitu apabila kita menggerakkan jari tangan untuk menulis, ia menghantar mesej dan maklumat dari otak melalui gerakan tangan lalu terhasil tulisan tangan.

Tulisan tangan juga sangat unik seperti cap jari, kerana jika diteliti ia berbeza daripada setiap individu, malah tulisan tangan juga boleh menjadi medium atau cara untuk berkomunikasi bagi sesetengah orang.

Tidak ramai yang tahu bahawa dengan tulisan mampu mengubah personaliti dan keperibadian seseorang. Namun, ia bukan mudah jika tidak mempunyai kepakaran dan asas yang betul.

Antara individu yang pakar di dalam ‘seni’ membaca tulisan tangan ialah Azura, yang telah berkecimpung dalam bidang berkenaan sejak lima tahun lalu.

Merupakan pengasas kepada Mastery Academy, Azura mengakui ‘kuasa’ tulisan tangan jarang diterokai kerana menyifatkan ia sekadar kemahiran berfikir, yang lazimnya mampu dilakukan setiap manusia normal.

Jelasnya, mengenal tulisan tangan mampu membantu seseorang mengenal diri sendiri dan berubah ke arah yang lebih positif, selain mengenali personaliti diri orang lain.

Ujar wanita berusia 41 tahun itu, mungkin bidang ini kedengaran sedikit menggerunkan, kerana keperibadian seseorang dapat dibongkar termasuk personaliti yang kurang elok dengan hanya melihat tulisan tangan.

Hakikatnya, kemahiran tersebut memiliki banyak manfaat tersembunyi.

“Bidang grafologi atau penganalisisan tulisan tangan merupakan satu kerjaya menarik yang bukan sahaja digunakan untuk membaca personaliti tidak elok yang dimiliki seseorang, namun ia adalah untuk membantu mengenal pasti karakter manusia dalam pelbagai bidang.

“Misalnya, melalui tulisan tangan kita boleh mengenali karakter anak-anak, suami dan isteri, rakan perniagaan, serta majikan dan kakitangan, dalam usaha mengenal pasti potensi sebenar mereka serta bagaimana untuk meletakkan pusat kawalan diri sendiri,” jelasnya.

Ditanya bagaimana dia terjebak dalam dunia tersebut, jelas Azura, semuanya bermula secara kebetulan ketika wanita itu sedang menyambung pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Pemasaran Antarabangsa di Universiti Malaya. Di situ dia berkesempatan menghadiri sebuah kursus menganalisis tulisan yang diadakan.

Jelasnya, sejak itu, minatnya semakin mendalam terhadap bidang berkenaan apabila mengetahui tulisan tangan mampu mengubah karakter dan keperibadiannya.

“Saya akui satu masa dahulu saya sering mengalami tekanan, terlalu sensitif, cepat rasa putus asa dan ketika itu terdetik bahawa mungkin dengan mendalami ilmu membaca tulisan tangan ini membantu saya untuk lebih positif.

“Dari situ, saya mula mencari maklumat tentang bidang ini dan akhirnya saya menyertai sebuah kursus di sini bersama pelatih yang berlesen bawah NFNLP (National Federation of NeuroLinguistic Programming) dan mendapat sijil NLP (Neuro Linguistic Programming) yang berpusat d Amerika Syarikat.

“Selain itu, saya juga merujuk pakar-pakar grafologi di sebuah pusat latihan dalam talian, iaitu Handwriting Analysis University,” ujarnya.

Pun begitu, ujian mempunyai anak disleksia membawa Azura untuk lebih dikenali di pentas laman media sosial apabila sering berkongsi dan menceritakan tentang bagaimana dia mengenal pasti anak istimewa itu melalui tulisannya

Dari situ jelasnya, ramai yang menunjukkan minat terhadap dunia analisis tulisan tangan, malah dia turut mendapat banyak permintaan untuk menganalisis tulisan anak rakan-rakannya.

Disebabkan mendapat permintaan ramai, Azura turut berkongsi ilmunya melalui penganjuran kelas analisis tulisan sejak empat tahun lalu, namun baru setahun lalu mengambil keputusan untuk menjadikan grafologi sebagai kerjaya tetap.

“Pada saya, bergelar penganalisis tulisan tangan bukan kerana duit semata-mata, namun lebik kepada membantu membentuk individu menjadi lebih baik serta berjaya dalam ruang lingkup yang tepat bagi memaksimumkan potensi diri,” katanya.


Bukan analisis semberono

MenganalisIS tulisan bukan kerja mudah kerana setiap satu huruf perlu dinilai dengan betul bagi mendapat ketepatan personaliti individu berkaitan.

Azura berkata, jika salah penilaian boleh menjejaskan karakter individu berkenaan, selain sukar untuk membantu mereka meneroka potensi diri mengikut kemampuan diri.

Secara asasnya, terdapat sembilan faktor untuk menganalisis tulisan tangan, iaitu margin, garis asas, arah huruf (slanting), jarak, saiz, tekanan, ketersambungan, zon dan kelajuan.

Tambahnya, setiap faktor itu pula mengandungi pecahan-pecahan sangat banyak yang berkait rapat dengan soal tenaga, kesihatan, masa silam, cara bersosial, tahap motivasi, cara berfikir dan maruah diri seseorang.

“Contohnya, perkara pertama yang boleh dilihat pada tulisan adalah saiznya. Jika tulisan saiz besar, anda seorang yang peramah, egois serta tidak boleh fokus pada satu-satu hal, manakala tekanan mata pena terlalu menekan pula, anda seseorang yang sangat bersemangat dan bercita-cita tinggi.

“Darjah kecondongan tulisan juga faktor penting.Jika tulisan itu condong ke kanan, dia mungkin seseorang yang telah merancang masa depannya, manakala jarak antara satu perkataan ke perkataan pula menggambarkan bagaimana seseorang itu menyesuaikan diri dengan orang lain,” terangnya.

Jelas Azura, jika dahulu ramai ibu bapa yang meminta dia menganalisis tulisan anak-anak dan tidak kurang juga suami dan isteri mahu menganalisis diri masing-masing, namun sejak kebelakangan ini ramai majikan turut menggunakan kaedah grafologi untuk mencari pekerja baharu.

“Kebanyakan majikan yang terlibat dalam pemasaran sering mengupah saya untuk mencari pekerja yang sesuai.

“Mereka tidak mahu lagi menjadikan resume sebagai tanda aras untuk memilih pekerja, kerana kata mereka melalui analisis tulisan tangan, karakter dan potensi pekerja lebih tepat diperoleh,” ujarnya yang turut memberitahu bahawa hampir 80 peratus syarikat di Amerika Syarikat, Perancis dan Sepanyol menggunakan kaedah grafologi untuk mengkaji potensi pekerja mereka.

Azura mengakui, tulisan tangan adalah lambang personaliti diri setiap individu kerana ia digerakkan oleh fungsi otak.

Begitupun, bentuk tulisan tangan juga boleh berubah disebabkan pelbagai faktor, justeru dia berharap sikap dan karakter individu juga berubah ke arah lebih positif.

“Sebab itu, biasanya setelah siap menganalisis tulisan tangan pelanggan, saya akan memberikan satu rumusan lengkap tentang rahsia tulisan. Saya juga akan beri tip-tip untuk berubah menjadi individu yang lebih baik seperti mana yang diajarkan agama dan itulah sebenarnya kepuasan yang saya dapat dalam bidang ini,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN