Ayam Bismi jual ayam 30 sen seekor - Utusan Malaysia

Ayam Bismi jual ayam 30 sen seekor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Seramai 150 orang pelanggan terawal di pusat jualan Ayam Bismi Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) di Simpang Empat Kangkong di sini hari ini berpeluang membeli ayam dengan harga istimewa 30 sen seekor.

Pelanggan tersebut sanggup beratur seawal pukul 6.30 pagi untuk mendaftar bagi membeli ayam dengan harga yang murah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Ayam Bismi, Mazlina Kamarudin berkata, jualan murah tersebut diadakan sempena majlis sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan syarikat tersebut.

Menurutnya, lebih 300 pelanggan beratur panjang untuk tidak ketinggalan membeli ayam berharga 30 sen itu bermula pukul 6.30 pagi.

“Bagaimanapun hanya 150 pelanggan terawal sahaja yang tidak berpeluang membeli ayam tersebut.

“Pelanggan lain pula masih berpeluang membeli ayam dengan harga RM5.99 sekilogram berbanding harga di pasaran RM7.50 sekilogram.

“Sebanyak sembilan lagi pusat jualan Ayam.Bismi di negeri ini dan Perlis turut menjual ayam dengan harga RM5.99 sekilogram pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pusat jualan Ayam Bismi di  Simpang Empat Kangkong di sini hari ini.

Turut hadir Pengasas dan Pengerusi Ayam Bismi, Jaffri Ahmad.

Syarikat itu juga mengadakan cabutan bertuah  dengan menawarkan hadiah 30 buah motosikal dan 300 periuk nasi elektrik sempena majlis sambutan ulang tahun tersebut. 

Mazlina berkata,  pihaknya menjual ayam dengan harga yang murah itu bertujuan berkongsi rezeki dan memberi pulangan balik hasil perniagaan kepada pelanggan. – K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN