SYDNEY – Australia meningkatkan hukuman penjara kepada 15 tahun terhadap sesiapa yang didapati bersalah mencemarkan makanan ketika kebimbangan mengenai penemuan jarum dalam strawberi dan buah-buahan lain terus membelenggu negara itu.
Polis masih menyiasat lebih 100 aduan yang diterima oleh pihak berkuasa mengenai jarum peniti ditemui dalam buah strawberi. Perbuatan sabotaj itu memaksa petani melupuskan buah tersebut selepas permintaan merosot, manakala sekiranya jenayah tersebut gagal ditangani, ia boleh mengakibatkan industri strawberi Australia yang bernilai A$160 juta (RM478 juta) mengalami kerugian besar.
Parlimen Australia semalam meluluskan undang-undang untuk meningkatkan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun terhadap sesiapa yang didapati bersalah mensabotaj barang makanan.
Kerajaan negara itu menganggap perbuatan tersebut sebagai jenayah berat sama seperti kesalahan membiayai keganasan.
Undang-undang itu turut mengenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun terhadap mereka yang membuat dakwaan palsu berhubung isu tersebut.
“Ia bukti bahawa saya amat serius tentang perkara ini,” kata Perdana Menteri, Scott Morrison kepada wartawan di Royalla, sebuah pekan yang terletak kira-kira 35 kilometer ke selatan ibu negara Australia, Canberra.
Undang-undang itu diluluskan segera iaitu dalam tempoh kurang satu hari ketika ahli-ahli Parlimen berusaha untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap industri strawberi.
Dalam pada itu, penanam-penanam strawberi menyambut baik langkah tersebut dan menyatakan bahawa mereka akan berdepan kerugian besar sekiranya permintaan terhadap buah itu tidak pulih segera.











