Artikel tohmahan Tabung Haji, Rafizi diperintah bela diri - Utusan Malaysia

Artikel tohmahan Tabung Haji, Rafizi diperintah bela diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli membela diri atas pertuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji dua tahun lalu.

Majistret Umzarul An-Nur Umar membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie berhubung kes tersebut.

Mengikut pertuduhan Mohd. Rafizi, 41, yang juga Ahli Parlimen Pandan didakwa menyiarkan artikel bertajuk Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015 dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Februari 2016 yang mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, pada pukul 9 pagi, 18 Februari 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berikutan itu mahkamah menetapkan 27, 28 dan 29 Disember ini bagi perbicaraan pembelaan kes itu. 

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek manakala Mohd. Rafizi diwakili peguam Nik Zarith Nik Moustpha. 

Terdahulu Nik Zarith memberitahu anak guamnya memilih keterangan secara bersumpah di kandang saksi.  

Sementara itu, Mohd. Rafizi ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia akan meneruskan proses bela diri dalam kes tersebut. 

“Berdasarkan saksi-saksi yang saya ada, Insya-Allah saya yakin kes ini dibuktikan dan ia bukan satu kes fitnah,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN