IPOH 20 Sept. – Muhammad Aqil Yasmin dan Azreen Nabila Alias membuktikan mereka adalah bintang pecut dalam pembikinan apabila dinobat sebagai juara 200 meter lelaki serta wanita Sukan Malaysia (Sukma) 2018 hari ini.
Dua hari selepas muncul Raja Pecut dengan mengungguli acara 100m, atlet muda Selangor, Aqil bukan sahaja merangkul kejuaraan berganda, malah melepasi perlumbaan 200m bersama rekod baharu temasya dengan catatan 21.01 saat, memadam rekod lama milik Khairul Hafiz Jantan (21.03s) yang dilakukan di Sarawak, dua tahun lalu.
Perak dimenangi Muhammad Haiqal Hanafi dari Negeri Sembilan dengan catatan 21.26s, manakala gangsa milik Russel Alex Nasir Taib dari Perak (21.30s).
Ratu pecut Terengganu, Azreen pula menggondol pingat emas ketiganya dalam Sukma 2018 dengan kepantasan 24.76s, mengetepikan pelari pilihan dari Perak, Shereen Samson Vallaboy (24.92s). Chelsea Cassiopea Evali Bopulas dari Sabah meraih gangsa.
“Ini adalah acara kegemaran saya dan sebelum memulakan larian jurulatih ada beritahu agar memperbaiki catatan terbaik… Alhamdulillah saya berjaya melakukannya.
“Catatan terbaik saya sebelum ini adalah 21.31s yang dilakukan dalam Sukma 2016 ketika saya meraih perak. Saya bersyukur berjaya memecah rekod temasya kerana sasaran saya sebenarnya adalah cuba membuat catatan bawah 21s,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Azreen, yang sebelum ini memenangi acara 100 dan 4x100m mengakui, tidak menyangka akan memenangi saingan 200m kerana Shereen merupakan pilihan utama.
“Saya hanya sasar pingat tanpa mengira warna. Kemenangan ini amat bermakna buat saya dan menaikkan semangat untuk memburu tiket ke Sukan SEA 2019.
“Walaupun berjaya memenangi tiga emas namun saya tidak fikir tentang gelaran olahragawati. Jika menang itu bonus untuk saya,” kata Azreen. – UTUSAN ONLINE











