KUALA LUMPUR 23 Sept. – Masa depan usahawan bumiputera sangat mem- bimbangkan ekoran wujudnya pelbagai desakan oleh bukan bumiputera untuk mendapat hak yang sama rata.

Desakan tersebut adalah untuk mendapatkan tender terbuka, modal dan bantuan yang sama sekali gus menyebabkan usahawan bumiputera seolah-olah tidak terbela dan akan terpinggir.
Pengerusi Persatuan Pemilik dan Pengusaha Bengkel Automatif Bumiputera Perak, Hadiman Ariffin berkata, agenda pemerkasaan bumiputera perlu terus dilaksanakan dan diberi keutamaan walaupun menyaksikan perubahan kepimpinan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei lalu.
Dalam masa sama ujar beliau, penstrukturan baharu kerajaan yang menyaksikan penubuhan semula Kementerian Pembangunan Usahawan juga samar-samar dari segi fungsi dan tugasnya sekali gus menyebabkan agenda bumiputera di bawah tampuk pemerintahan baharu masih tidak jelas.
“Namun, kami amat bersyukur kerana Kementerian Pembangunan Usahawan ditubuhkan semula, cuma adakah sama dengan fungsi kementerian yang telah dibubarkan pada 2009? Ini menjadikan agenda pemerkasaan bumiputera di bawah kerajaan baharu ini juga masih tidak jelas.
“Tetapi kami juga mendapati langkah kerajaan mengekalkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta tidak memisahkan fungsinya kerana bidang automatif masih menjadi satu elemen dan keutamaan di bawah kementerian ini adalah amat tepat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Penubuhan semula kementerian tersebut sebelum ini, mendapat reaksi yang positif daripada pelbagai pihak termasuk Naib Presiden, Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin kerana tiada agensi pusat yang benar-benar berperanan dalam membantu usahawan kecil bumiputera membangunkan perniagaan masing-masing.
Baru-baru ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dilaporkan akan mewujudkan sebuah pusat sehenti untuk menyimpan data dan maklumat mengenai usahawan, mengumpul maklum balas dan memberi khidmat nasihat serta bertindak menyelaraskan aduan mengenai hal ehwal usahawan bagi memperkasakan pembangunan usahawan bumiputera.
Menurut Hadiman, perubahan tampuk pemerintahan memberi tamparan hebat, cabaran dan peringatan kepada semua usahawan bumiputera supaya tidak leka dan harus keluar daripada zon selesa.
Katanya, cadangan kerajaan terdahulu untuk memperkenalkan lesen khas bagi bengkel-bengkel automotif dan dasar-dasar lain yang berkaitan mesti dipandang serius oleh semua usahawan bumiputera.
“Hak sama rata boleh menjadi satu perkara yang baik untuk negara tetapi sekiranya kita silap percaturan, ia akan memberi risiko yang tinggi buat orang Melayu dan bumiputera jika kita gagal meningkatkan daya tahan dan tidak relevan kepada pasaran.
“Sehubungan itu, saya mahu usahawan ini berusaha untuk memajukan diri dan perniagaan serta sentiasa menimba ilmu selaras peredaran semasa, merebut peluang perniagaan dan kekal berdaya saing,” katanya.










