PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan mengeluarkan lesen eksport (AP) bauksit kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi tempoh moratorium yang masih berkuat kuasa sehingga 31 Disember ini, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar.
Beliau berkata, pihak kementerian dimaklumkan terdapat individu atau entiti yang menjalankan aktiviti pengorekan bauksit secara haram dalam tempoh moratorium.
“Memandangkan aspek penguatkuasaan perlombongan haram adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, pihak kementerian akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang dalam menangani isu berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas dengan tidak mengeluarkan lesen eksport ke atas mana-mana pihak yang tidak mematuhi tempoh moratorium,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.










