KUALA LUMPUR – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya beliau berpotensi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson berdasarkan rekod prestasinya yang cemerlang dalam mempertahankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan golongan veteran.
Anwar berkata, Pas mempunyai hak untuk meletakkan mana-mana calon yang difikirkan sesuai untuk bertanding pada PRK itu namun rekod prestasinya mempertahankan ATM dan golongan veteran sudah terbukti sejak dahulu, malah ia boleh diakses dan dibaca dalam hansard Parlimen.
“Ketika Datuk Seri Najib Razak mencadangkan kem Sungai Besi diswastakan kepada Jho Low dan geng, saya membantah di Parlimen malah menegas dan mempertahankan hak veteran untuk dilindungi.
“Rekod itu sangat jelas dan saya percaya pengundi boleh mengaksesnya. Saya juga akan turun padang untuk berjumpa dan menawarkan perkhidmatan saya kepada pengundi,” katanya kepada media selepas selesai prosiding kes saman fitnah difailkannya terhadap bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh, Datuk Mazlan Ismail di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Mengulas mengenai tindakan seorang pengundi di kawasan Parlimen Port Dickson memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi memohon perintah mahkamah bahawa peletakan jawatan Datuk Danyal Balagopal Abdullah sebagai anggota Parlimen kawasan itu adalah tidak sah dan terbatal, Anwar berkata, ia tidak akan menjejaskan proses pilihan raya itu. – Bernama











