KETIKA ini ramai membicarakan tentang PKR dan terutamanya keputusan parti itu mengosongkan satu kerusi Parlimen bagi memberi ruang kepada Presiden yang dipilih, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia Kelapan.
Seperti dijanjikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, jawatan ketua negara itu akan diserahkan kepada Anwar dalam tempoh masa dua tahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Persoalan yang bermain di minda ketika ini adalah kawasan mana yang perlu pilih dan ditandingi oleh Anwar?
Jika melihat kepada keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, kempen Pas dibantu UMNO banyak memainkan isu survival Islam dan orang Melayu sehingga menyaksikan wujud penyusutan undi terhadap PH terutamanya dalam kalangan orang Melayu.
Trend kebangkitan Melayu ini sebenarnya memberi isyarat jelas kepada Anwar bahawa beliau berdepan pelbagai risiko jika bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu terutama di kawasan luar bandar.
Anwar dipercayai akan lebih selamat untuk meraih kemenangan di kawasan bandar khusus yang memiliki komposisi pengundi kaum Cina tinggi seperti Selayang, Petaling Jaya, Damansara dan Pandan.
Hakikatnya, Ahli Parlimen Selayang, William Leong sebelum ini pernah menyatakan kesediaan untuk menyerahkan kerusi yang beliau menangi sejak dari tahun 2008 itu kepada Anwar.
Bagaimana pula dengan kerusi Parlimen Pandan dipegang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang selama ini memainkan peranan sebagai ‘pengisi tempat kosong’ kepada Anwar?
Berdasarkan beberapa kenyataan sebelum ini, Wan Azizah dilihat seperti memberi isyarat tidak mahu melepaskan kerusi tersebut.
Mungkinkah Anwar akan kembali ke Permatang Pauh iaitu kawasan menyaksikan beliau menjadi ahli Parlimen di sana selama empat penggal, sebelum diisi kekosongan oleh Wan Azizah selama tiga penggal dan kini dipegang oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah?
Bagaimanapun, penganalisis politik melihat Nurul Izzah tidak akan mengosongkan kerusi berkenaan kerana anak sulung Anwar itu dilihat sebagai pemimpin masa hadapan PKR.
Apa pun keputusannya nanti, diharapkan nasib rakyat di kawasan berkenaan tidak diabaikan sebaliknya terus diperkasakan selaras dengan slogan Malaysia Baharu.










