PETALING JAYA – Teka-teki berhubung kerusi Parlimen yang menjadi pilihan bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya terjawab apabila Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta semalam.
Kesungguhan Danyal Balagopal dalam menawarkan kerusi Parlimennya menambat hati Anwar untuk memilih kawasan tersebut dalam usahanya kembali ke Dewan Rakyat.
“Biasa dalam politik ada yang enggan (melepaskan kerusi), ada yang umum tetapi tidak berani melepaskan tetapi ada yang serius. Beliau (Danyal Balagopal) serius dan saya mengadakan pertemuan (dengan Danyal) bertanyakan apa alasan, agak menarik kerana beliau mahu kekal sebagai pembantu saya di Teluk Kemang,” kata Anwar dalam temu bual bersama Astro Awani menerusi aplikasi Skype dari Hong Kong semalam.









