KUALA LUMPUR – Bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim gembira dengan keputusan Barisan Nasional (BN) yang tidak mahu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan pada 13 Oktober depan.
Anwar yang juga calon PKR untuk pilihan raya tersebut berkata, beliau menyambut baik keputusan yang dibuat oleh BN dan dalam masa sama mengalu-alukan pertandingan pada PRK Port Dickson.
“Saya gembira tiada pertandingan (daripada BN) kerana UMNO tidak mahu bertanding.
“Saya sambut baik siapa yang tidak mahu bertanding. Tetapi saya akan tetap berhadapan dengan calon Bebas,” katanya ketika ditemui media selepas Syarahan Negarawan 2018 anjuran Dewan Bahasa Pustaka di sini pagi tadi.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN mengambil keputusan memboikot PRK Parlimen Port Dickson.
Ahmad Zahid berkata, keputusan untuk tidak menghantar calon dan terlibat pada PRK tersebut dibuat oleh BN kerana pengosongan kerusi Parlimen itu dibuat hanya untuk memenuhi kehendak politik individu tertentu. – K! ONLINE










