Anwar bakal bawa tuah kepada Port Dickson dan NS - Utusan Malaysia

Anwar bakal bawa tuah kepada Port Dickson dan NS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang mampu membawa pembangunan yang lebih pesat di kawasan itu, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Aminuddin, yang juga Pengerusi PKR dan Pakatan Harapan negeri berkata, selain kawasan berkenaan, tempias kemajuan yang dicapai Port Dickson turut memberi nilai tambah kepada keadaan ekonomi dan sosial negeri.

Menurutnya, disebabkan itu, rakyat perlu memberikan mandat kepada Anwar, yang telah diumumkan menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, untuk mewakili kawasan berkenaan memandangkan beliau bakal diangkat menjadi perdana menteri kelapan.

“Di samping itu juga, apabila Datuk Seri Anwar diangkat menjadi perdana menteri, kita yakin banyak kemudahan serta infrastruktur akan dibawa dan kita mengharapkan Negeri Sembilan dapat dibangunkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi tiga keluarga mangsa banjir di pusat pemindahan Balai Raya Kampung Sungai Raya, di sini.

Setakat ini, jumlah mangsa banjir sejak dua hari lalu masih kekal 15 orang iaitu 10 dewasa, empat kanak-kanak dan seorang bayi.

Mereka dijangka pulang selepas keadaan cuaca baik dan kerja-kerja pembersihan kediaman yang dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri selesai dilaksanakan hari ini. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN