BERDASARKAN amalan sebelum ini, setiap bekas Perdana Menteri (PM) dan pasangannya akan dianugerahkan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) yang membawa gelaran Tun seusai PM baharu mengangkat sumpah jawatan.
Contohnya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah masing-masing menerima anugerah Tun daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada April 2009, selepas majlis angkat sumpah jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai PM yang baru.
Dr. Mahathir Mohamad pula mendapat anugerah sama yang membawa gelaran Tun sebaik-baik sahaja melepaskan jawatan perdana menteri yang dipegangnya selama 22 tahun daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail sejurus selepas Abdullah mengangkat sumpah jawatan sebagai PM kelima pada Oktober 2003.
Oleh itu, saya tidak melihat apa-apa “keistimewaan” yang ada pada PM ke-6 Malaysia iaitu Najib untuk beliau tidak menerima layanan yang sama berbanding mantan PM sebelumnya.
Kelihatannya, rakyat kini disibukkan dengan pelbagai pendedahan isu salah laku tadbir urus tanpa asas tuduhan yang kukuh, sehingga kita dilupakan untuk memberikan sedikit penghargaan terhadap sumbangan kepimpinan sebelum ini. Segerakanlah penghargaan kepada mereka yang berhak!
Pengemis Soh
Bangsar










