KUALA LUMPUR – Tiga jenis haiwan baharu menjadi tarikan buat orang ramai untuk berkunjung ke Zoo Negara, Hulu Kelang di sini bagi mengisi masa lapang ekoran cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan Awal Muharam minggu ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati antara haiwan tersebut ialah dua ekor anak harimau bintang, dua ekor harimau putih dan seekor anak panda betina yang dilahirkan pada Januari lalu.
Ia merupakan anak bagi pasangan panda gergasi, Liang Liang dan Xing Xing yang dipinjamkan oleh kerajaan China kepada Malaysia selama 10 tahun sejak 21 Mei 2014.
Lebih menggembirakan, tiket masuk ke Zoo Negara kini lebih murah berbanding sebelum ini dan pengunjung boleh melihat anak panda tanpa dikenakan caj tambahan.
Seorang pengunjung, Wai Chew Meng, 42, berkata, harga tiket RM43 (dewasa), RM16 (kanak-kanak) dan RM21 (warga emas) adalah berbaloi kerana pengunjung boleh melawat ke seluruh kawasan zoo dan Pusat Konservasi Panda Gergasi.
“Sebelum ini, harga tiket masuk zoo berjumlah RM50 iaitu masing-masing RM30 untuk bayaran masuk dan RM20 melihat panda namun kini pengunjung dapat berjimat dan berpeluang melihat kesemua haiwan pada harga yang lebih murah,” katanya ketika kepada Kosmo!.










